“Aku Bukan Ustazah” – Episod 5

Aku Bukan Ustazah

Episod 5

Karya: Muhammad Rusydi

Hayati melayangkan penumbuknya. Padu ke arah Lis.

Lis berjaya mengelak. Tidak mahu lagi terkena pukulan kedua setelah ditampar balas pagi tadi. Disikunya Hayati. Tepat. Terkesamping ke penjuru meja. Geng Hayati tidak tunggu lama, terus menerkam Lis.

Lis kaget diserbu tiga minah dalam satu masa. Aira menerpa salah seorangnya. Berguling-guling di atas lantai simen. Kotor habis tudung putihnya. Tak dipedulikan lagi. Aira menerima tamparan demi tamparan di mukanya. Dibalas kembali dengan hempukan demi hempukan.

Kelas jadi haru-biru kejap. Bising. Ada yang bertempik. Ada yang bertepuk tangan melaga-lagakan lagi. Ada yang bersorak. Ada yang suruh berhenti bergaduh. Ada juga yang dah start menangis. Perempuan.

Hayati bangun kali ni. Dengan penyapu di tangannya. Menyerbu Lis. Aira sempat mengerling ke arah Hayati, pantas dibentesnya minah itu sampai tersungkur. Lis tidak melepaskan peluang terus menumbuk Hayati dengan tumbukan padu.

“Rasakan!”

Lis makin menggila barannya. Dicepuknya minah angkuh tu sepenuh hati. Kawan-kawan Hayati menarik Lis cuba meleraikan. Tapi, dia tidak berganjak. Mereka ambil buku teks dan hentam Lis. Lis pula terus menghayunkan tumbukannya pada Hayati.

Aira pula bergelut dengan kawan Hayati yang lain. Senget sudah tudung kedua-duanya. Adegan tarik menarik tudung.

Hayati tiba-tiba berjaya melepaskan diri dari Lis. Menerajang Lis sampai tersembam. Diangkatnya kerusi plastik. Dihentam betul-betul atas badan Lis.

“Argh!”

Lis menggelupur. Aira tak mampu buat apa-apa. Ditolaknya kawan Hayati yang berada di atasnya ke samping kuat-kuat. Tercampak minah tu. Laju Aira mendapatkan Lis yang dalam kesakitan. Hayati tidak melepaskan peluang menghentak Aira yang mendakap Lis masa tu untuk melindungi. Kawan-kawan Hayati yang lain datang berkerumun menyepak beramai-ramai tubuh Aira.

Kawan-kawan yang lain hanya mampu melihat. Tak berani nak tolong. Tak nak masuk campur.

Aira kelihatan makin lemah. Sedaya-upaya dia cuba melindungi Lis sahabat baiknya.

Hayati memijak-mijak belakang Aira semahunya.

“Perempuan tak guna! Ada hati nak lawan aku!”

Tiba-tiba terasa seolah ada gegaran masuk ke dalam kelas. Tak syak lagi. Jangan-jangan…

Ustazah Raihanah!

“Berhenti!”

Namun, geng Hayati seolah-olah tidak menghiraukan tempikan Ustazah Godzilla. Apa lagi, ustazah garang itu masuk dekat lalu…

PANG! PANG! PANG! PANG!

Empat pelajar perempuan yang sedang naik gila itu ditempeleng oleh Ustazah Raihanah. Terjelepuk di lantai semuanya.

“Macam syaitan dah semuanya! Mana pergi iman belaka?! Semua nak jadi ‘bini-biniku gengster’ ya?! Baiklah, semua ikut saya ke bilik sekarang juga!”

Nampak pelajar-pelajar itu masih enggan berganjak dari tempat kejadian, ustazah mengambil batang penyapu. Dipatahkan batang penyapu yang keras itu di hadapan mereka semua. Tergamam semua pelajar dalam kelas.

“Kau semua kalau tak nak jadi macam penyapu ni, cepat bergerak. Sekarang!”

Aira cuba bangun dalam keadaan sakit-sakit seluruh badan. Berkeronyok tudung dan pakaiannya.

Lis masih lagi terbaring. Tak dapat bangun. Mengadu sakit belakang.

“Ustazah, saya rasa dia kena dibawa ke hospital. Tolonglah.”

Aira sedikit merayu.

Ustazah Raihanah memeriksa belakang Lis. Agak parah keadaannya. Mungkin kena bahagian tulang. Aira juga kelihatan teruk. Lebam-lebam sana-sini. Namun, tidak dihiraukan dirinya sendiri. Yang lebih merungsingkan adalah Lis.

Ustazah mendengus. Geram.


Lis sudah dihantar ke hospital. Tanpa Aira menemani. Aira dan geng Hayati berada dalam bilik disiplin. Bersama-sama dengan mereka adalah Ustazah Raihanah.

“Kamu semua ni nak jadi apa? Datang sekolah nak bergaduh. Sedarlah sikit diri tu perempuan. Bukan lelaki sampai nak smackdown, terajang dan sepak! Mana sopan-santun?!”

Ustazah meninggikan suara. Kesemuanya tunduk. Aira menahan sakit.

“Kalau parents kamu semua tahu apa yang berlaku ni, tak ke sedih mereka semua?!”

Ustazah masih membentak. Guru disiplin menggelengkan kepalanya.

Aira terbayang wajah ayahnya di rumah. Dalam hatinya berbisik, ‘Maafkan Aira..’ Apakan daya, kesabarannya tadi sudah berada di puncak. Tidak pernah dia rasa marah sebegitu rupa. Ini kali pertama dia begitu sejak masuk ke sekolah tu. Mana mungkin dia berdiam diri bila guru Matematik kesayangannya dibuat sebegitu rupa. Diperkotak-katikkan orang semahunya saja. Mana mungkin dibiarkan saja.

Guru disiplin bersuara,

“Saya dah hubungi ibu bapa masing-masing. Panggil ke sekolah esok. Kita akan adakan pertemuan dengan para ibu bapa untuk bincangkan masalah ni. Sebab ni kes serius. Tak boleh dilepaskan macam tu saja.”

Ustazah Raihanah merenung tajam ke dalam mata setiap seorang.

Tiba-tiba telefon pejabat guru disiplin berdering. Diangkat si guru disiplin. Aira melihat guru itu mengangguk-angguk dan nampak sedikit gusar. Telefon diletakkan. Guru itu mula bersuara,

“Hayati dan kamu semua boleh balik ke kelas. Kes ini tidak akan diambil kira. Saya maafkan kesalahan kamu hari ni dan tolong jangan ulang lagi di masa hadapan. Hanya amaran saja diberikan untuk kesalahan kali pertama ni.”

Ustazah Raihanah tergamam. Pelajar-pelajar dipersilakan keluar termasuk Aira dari bilik guru disiplin. Aira melihat Hayati dan geng tersengih-sengih.

Dalam bilik disiplin, Ustazah Raihanah menghentak permukaan meja guru disiplin tanda tidak puas hati.

“Ni dah kenapa pula?!”

Guru disiplin berkerut kening seraya berkata,

“Maafkan saya, ustazah. Pengetua call saya tadi. Katanya arahan dari pihak atasan untuk menutup kes ni.”

Ustazah tidak puas hati lagi.

“Siapa pihak atasan sangat tu?!”

Guru disiplin menjawab lemah,

“Yang Berhormat Dato’.”

Suasana dalam bilik disiplin itu sunyi seketika. Sekilas, Aira melihat kelibat Ustazah Raihanah keluar dari situ dengan muka masam mencuka. Tahulah Aira, angkara siapa.


Dah hampir waktu pulang.

Aira tidak masuk ke kelas. Badannya sakit-sakit. Dia singgah di musalla. Kepalanya pening. Dilihatnya badannya biru-biru lebam. Namun, di dalam fikirannya lebih memikirkan apa yang terjadi pada Lis. Bagaimana keadaannya? Teruk ke lukanya? Patah ke?

Aira merebahkan dirinya atas sejadah. Mengalir air mata sendiri. Sedih. Sedih kerana tak berdaya melawan kumpulan minah samseng berlagak hebat tu. Hebat kerana ada kuasa. Hebat kerana ramai.

Sedangkan dia cuma dengan Lis. Berdua saja. Kekuatan tak seberapa. Terdetik di hatinya penyesalan. Penyesalan kerana enggan bersabar. Dia terlupa sudah firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 200 yang bermaksud,

“Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu, kuatkanlah kesabaranmu, tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu), dan bertaqwalah kamu kepada Allah supaya kamu beruntung.”

Allahurabbi.

Inilah padahnya. Melupakan pesanan Allah sedikit saja. Akhirnya yang sakit-sakit adalah diri sendiri.

Aira memuhasabah diri sendiri. Beristighfar sendiri, berbisik. Oleh kerana terlalu penat dan sakit, akhirnya Aira terlelap atas sejadah. Hingga waktu Zohor pun berlalu. Langsung tidak disedarinya. Betul-betul lena. Pelajar-pelajar semua dah balik ke rumah masing-masing.

Sedar-sedar, ada gelak ketawa di sekelilingnya. Aira membuka matanya cepat-cepat.

Geng Hayati lagi!

Aira baru perasan. Tudungnya tak ada! Rambutnya terurai ke bahu.

“Mana tudung aku?!”

Aira bingkas bangun. Dilihatnya salah seorang geng Hayati sedang memegang henfon. Merakam dirinya yang terdedah aurat. Kemudian, diberikan kepada Hayati pula. Malu tidak terkata. Aira kembali berang. Maruahnya di hujung tanduk.

Hayati terus mengetawakan Aira yang berulang kali minta tudungnya dipulangkan. Geng Hayati kali ini menutup muka masing-masing. Tudung sekolah dibuat macam purdah.

“Kali ni, aku akan pastikan kau melutut di kaki aku. Biar video kau tersebar di Youtube! Girls, pegang dia!”

Kawan-kawan Hayati menyerbu Aira. Memegang tangan dan kakinya. Aira cuba menjerit namun pantas mulutnya dicekup kasar.

“Apa kata kalau aku rakam seluruh tubuh kau..ha ha ha!”

Aira cuba melepaskan diri. Bergelut semahunya. Tidak akan dibiarkan maruahnya dipijak dan dihina seperti anjing. Meski mati sekalipun hari itu, maruahnya sebagai seorang muslimah tidak akan dijual murah-murah! Makin kuat dia meronta-ronta, makin kuat pegangan geng Hayati padanya. Aira menitiskan air mata. Tak sangka dirinya akan dimalukan orang sebegini rupa. Oleh saudara seislamnya sendiri!

Hayati makin menggila kesyaitanannya. Entah apa yang merasuk fikiran. Sampai iman dikorban. Langkah dimajukan ke arah Aira. Tangannya mula mencapai butang baju Aira.

SPLASH!!

Sebaldi air dicampakkan ke arah Hayati. Basah kuyup minah tu. Membantutkan terus langkahnya pada Aira.

“Siapa?!”

Segera dia berpaling ke arah orang yang menjirusnya.

Dilihatnya, seorang lelaki yang berparut di muka. Tidak dikenalinya.

“Kau semua dah solat Zohor? Atau nak aku azankan di telinga masing-masing?”

Hayati melihat di tangan lelaki itu ada satu lagi baldi. Baldi yang berisi air longkang.

“Atau kau semua nak aku ‘wudukkan’ dengan air hitam ni?!”

Lelaki itu melaung kuat.

Hayati dan geng terdiam. Lelaki itu bergerak ke depan. Dicapainya kain telekung. Berjalan menuju ke arah Aira.

“Lepaskan dia atau aku tumbuk muka setiap seorang sampai pecah.” Habis saja berkata-kata, tangannya dilayangkan betul-betul ke sebelah salah seorang kawan Hayati yang sedang memaut erat tangan Aira.

PRAK!

Berlubang terus papan kenyataan tu. Kawan-kawan Hayati terkejut. Terus melepaskan Aira dengan segera. Lelaki itu terus menebarkan telekung di kepala Aira. Melilitkannya.

Berpusing kembali ke arah Hayati. Terus mara. Berjalan dengan muka bengis.

“Henfon. Bak sini.”

Belum sempat Hayati menjawab, sudah berjaya dirampas lelaki itu. Dijatuhkannya di lantai. Dipijak hancur!

“Celaka kau! Henfon mahal aku tu!”

Lelaki itu terus mara ke arah Hayati tanpa mempedulikan Hayati yang sedang membebel. Sehingga Hayati terpaksa berundur sampai ke pintu keluar musalla. Kesemua geng Hayati keluar tergesa-gesa. Namun, belum sempat mereka capai kasut masing-masing.

SPLASH!!

Air longkang hitam bertempek lekat di muka mereka semua. Baldi yang berisi tadi dikosongkan.

Kesemua mereka terus beredar dari situ tergesa-gesa. Malu besar andai ternampak oleh sesiapa di sekolah. Busuk lagi menggelikan pula tu. Geli-geleman melanda diri mereka.

Lelaki itu tidak menoleh ke arah Aira. Aira menangis teresak-esak di belakang di sudut musalla.

“Baliklah.

Maruah kau. Aurat kau. Semua dah Allah selamatkan. Kau kena ingat, orang yang tulus hatinya pada Allah, bergantung pada Allah sepenuhnya, Allah akan jaganya sampai hari kiamat. Aku tahu kau gadis baik.

Bukan aku yang selamatkan kau.

Dia, Allah.”

Aira menggigil badannya keluar dari musalla. Trauma lagi dengan kejadian tadi. Sempat dia menoleh ke arah lelaki berparut di muka tu.

“Terima kasih, Zam.”


monolog

Aku berjalan perlahan-lahan. Badan sakit-sakit. Terasa sangat jauh untuk sampai ke rumah. Entah apa yang ayah akan katakan nanti. Melihat diriku yang kusut masai tak terurus. Dengan tudung yang senget-bengetnya. Dengan pakaian kotornya.

Sakit hati aku mengingatkan kejadian di sekolah tadi. Tergamak Hayati buat aku macam tu. Sungguh. Sungguh aku tak menyangka sejauh itu dia akan bertindak. Dia lupa ke maruahnya juga seperti aku. Masakan seorang wanita sanggup untuk memusnahkan maruah seorang wanita lain sedangkan wanita itu sendiri faham betapa tingginya harga maruah diri seseorang wanita.

Air mata ni ku biarkan saja menitis di pipi. Tak tertahan dah lagi.

Auratku sudahlah dicabul dan diketawakan. Mahu didagangkan pula harga diri ini di Youtube yang ditonton satu dunia. Mana nak letak muka?

Allahurabbi.

Kalau dah sesama Islam pun begini, patutlah orang kafir melakukan semahunya saja pada wanita Islam di negara-negara bergolak. Dimalukan, ditelanjangkan maruah dan kehormatannya sesuka hati mereka.

Mujurlah Islam datang demi menyelamatkan maruah wanita. Tanpa nur Islam dan iman, lihatlah para wanita di dunia ni selamba saja memperjudikan tubuhnya, malahan dibayar, hinggakan dijadikan satu profesyen yang membanggakan walaupun memperagakan diri tanpa seurat benang di hadapan lensa! Kasihan mereka. Seandainya mereka mengerti Islam itu sangat indah. Meninggikan darjat mereka di sisi Tuhan seandainya mereka bertakwa.

Mujurlah juga. Lelaki bernama Zam tadi datang menyelamatkan. Entah dari mana, aku pun tak tahu. Benar, Allah yang selamatkan. Bukan dia.

Oh! Terharu sejuta rasa.

Ku teruskan langkah ini. Sakitnya pinggang. Bahu. Lengan. Bisa sudah terasa. Mungkin urat-urat dah bengkak. Lebam dah menular.

Ku dongak ke langit. Hari makin gelap. Nampaknya hari nak hujan. Angin pun makin deras menerjah. Dedaunan yang luruh menerpa. Terbang ke pesisir jalanan.

Tadi, dah singgah sekejap di masjid. Selesaikan solat Zohor yang tertunda. Bila tengok telekung di masjid, teringat telekung di musalla tadi. Tak sangka, telekung yang digunakan untuk bersolat itulah yang digunakan untuk menudungi auratnya yang terdedah di sekolah tadi. Peluk erat-erat telekung di masjid tadi. Rasa sayang amat tiba-tiba. Hargai nilai sebuah telekung. Tapi, aku cukup tak suka bila tengok telekung-telekung wakaf yang ada di mana-mana masjid dibiarkan saja menjadi kekuningan tidak dicuci. Nantilah, aku nak kutip mana-mana yang kotor, bawa balik cuci bersih-bersih. Barulah selesa nak menghadap Ilahi.

Bersih suci, mengarah khusyuk hati.

Hari yang sungguh tension. Sabar sajalah.

Nak jalan cepat-cepat pun tak larat. Entah esok nak ke sekolah atau tidak. Ikutkan hati, malas nak pergi. Nak rehat.

Malas juga nak menghadap muka Hayati tu. Entah apa lagi yang akan dibuatnya. Bukan betul sangat budak tu. Sekarang pun, malas nak memikirkannya. Penat. Dari pagi sampai petang, asyik dengar nama dia. Asyik sebut dia. Asyik-asyik dia. Jemu!

Sudah-sudahlah tu dengan Hayati.

KTING!

Kakiku tersepak tin minuman yang berada di jalanan. Tiba-tiba, muncul seorang makcik tua dengan pakaian lusuh, kotor. Di tangannya terlihat guni berisi separuh tin-tin minuman terbuang.

Datang menghampiriku. Tunduk mengutip tin yang tadi ku tersepak.

“Assalamualaikum, makcik. Banyak dapat tin hari ni?”

Makcik tua tadi menoleh ke arahku. Dia tersenyum.

“Ni sajalah. Sambung malam nanti pula rasanya. Sebab hari nampak gelap nak hujan.”

Makcik itu nampak keletihan sedikit. Sama macam aku. Nampak seperti dia menunggu seseorang.

“Makcik datang seorang ke?”

Dia menggelengkan kepalanya.

“Dengan pakcik. Suami makcik. Ni tengah tunggu dia. Mungkin dia tengah ronda tin di sebelah pasar sana.”

Aku mengajak makcik duduk dulu di hentian bas tepi jalan. Sambil-sambil dia tunggu suami dia datang ambil. Kami bersembang kejap.

“Makcik, dapat berapa jual tin-tin ni?”

Makcik senyum saja.

“Tak banyak. Satu guni penuh, dalam seringgit saja. Kalau dapat 10 guni, sepuluh ringgit. Tapi, biasanya tak sampai pun. Dapat 5 guni pun dah nasib baik. Kalau tak, biasanya tiga guni saja.

Pakcik pula kutip besi buruk. Yang tu banyaklah sikit dapat. Tapi, taklah lumayan pun. Bolehlah sekadar beli nasi bungkus untuk dua orang. Susah sekarang ni. Orang lain pun cari besi buruk juga. Siap ada syarikat lagi. Kami yang kutip sendirian ni, dapat sisa-sisa sajalah.”

Aku menggamit tangan makcik tua itu. Gosok lembut tangan orang tua itu.

“Dah lama makcik buat kerja ni?”

Makcik itu tersenyum lagi.

“Sejak pakcik kemalangan, kehilangan sebelah kakinya. Makcik buat macam-macam kerja. Masa tu makcik mengandungkan anak pertama. Takdir Allah, mungkin kerana makcik ketika hamil banyak buat kerja berat untuk menyara kos ubat-ubatan pakcik, anak pertama itu gugur. Malahan, sejak dari itu, Allah uji lagi makcik dengan tidak menyambung lagi zuriat. Itulah yang pertama dan terakhir.”

Aku rasa sebak dalam dada.

“Makcik jangan sedih ya. Insya-Allah, yang seorang itu ada di Syurga. Mana tahu kelak, dialah yang akan membantu ibu-bapanya masuk sama.”

Makcik cuma senyum. Mungkin dah lama tabah. Lebih tabah dari apa yang aku sangkakan. Mungkin.

“Pakcik tu lepas dia pulih sikit, dia cuba berjalan dengan sebelah kakinya. Namun, tewas berkali-kali. Putus asa banyak kali. Makcik belikan dia tongkat. Jabatan kebajikan bekalkan kaki palsu. Tapi, fungsinya sekadang menongkat badan. Berjalan, tidak sepenuhnya stabil.

Peringkat awal, makcik sendiri hampir putus asa. Keluarga makcik kata, tinggalkan saja. Makcik masih muda masa tu, boleh cari suami yang lain. Kawan-kawan makcik pun cadangkan yang sama….”

Aku lihat riak wajah orang tua itu sedikit berubah. Nampak sayu. Ku genggam tangannya sedikit erat.

“Makcik sayangkan dia. Dialah satu-satunya lelaki yang betul-betul berusaha untuk menikahi makcik. Dia kerja keras siang dan malam untuk kumpul duit nikah. Dia yang melutut di hadapan keluarga makcik nyatakan hasratnya untuk menjadikan makcik isterinya yang sah. Memang, sejak muda dia memang serba kekurangan. Tiada harta, darjat, status ataupun pekerjaan yang membanggakan. Sekadar pemikul beras ke pasar-pasar borong. Berapalah sangat gajinya. Harapkan kudrat empat kerat. Bila kehilangan sebelah kakinya, walaupun bahunya mampu memikul, kakinya tak mampu menampung lagi beban….

Makcik tak tinggalkan dia.

Walaupun pernah, dia kata dia sedia bebaskan makcik. Biar makcik bina hidup baru. Katanya, untuk apa lagi bersama dengan orang cacat sepertinya. Tapi, sejak nikah, dialah yang didik makcik bersolat, mengaji Al-Quran. Dialah yang ajar makcik agama. Dialah yang paling memahami makcik kala suka dan duka.

Makcik cekalkan hati, demi Allah. Demi kasih sayang yang ada ni, makcik bertahan dengannya. Sampai sekarang. Inilah cinta kerana Allah. Susah senang, kerana Allah.

Biarlah masyarakat sekeliling mengata, ini hidup kami. Bukan hidup mereka.

Ini jalan cerita hidup kami.”

Aku menitiskan air mata. Tak tertahan lagi. Ku lihat sekilas makcik juga menitiskan air matanya. Sebak dalam dada.

Ku tanya pada diri sendiri, andai aku yang berada di makcik itu, sanggupkah aku bertahan? Pasti seribu kali fikir dulu untuk buat keputusan seumur hidup.

“Kamu tengok tin-tin kosong ni. Bagi orang lain, tin ini tiada lagi nilainya setelah disedut isi di dalamnya. Diminum airnya.

Tapi, bagi kami. Tin-tin kosong yang tidak bernilai ini bawa erti yang besar. Dari jualan tin-tin yang sedikit ini, kami merasa cukup bersyukur. Dapat makan nasi bungkus kongsi bersama, itu sudah cukup membahagiakan.

Biarlah miskin di dunia, tapi kami bahagia. Allah tetapkan bahagia kami dengan cara ini. Bahagianya dapat kutip tin-tin, besi buruk bersama-sama. Berpeluh, kotor bersama-sama. Letih bersama. Dari dulu sampai kini, ke mana-mana kami sentiasa berdua.

Tengoklah orang-orang kaya punya harta banyak berjuta-juta. Berapa banyak masa yang ada untuk bersama orang yang tercinta. Mungkin hanya satu dua jam sehari, kemudian kerja. Tapi, kami ada 24 jam bersama. Apa itu tidak bahagia?

Alhamdulillah. Kami merasa cukup dengan apa yang ada sekarang ni. Dunia tempat menanam, akhirat tempat menuai. Makcik gembira, masih diberi peluang bersolat jemaah di belakang suami. Masih suami mengajar makcik erti hidup beragama. Ya Allah..besarnya nikmat yang Allah bagi ni.”

Makcik tersenyum dalam tangisan.

Aku menangis dah.

Sungguh, sangkaanku tentang bahagia selama ini meleset. Bahagia itu benar milik Allah. Dianugerahkan bahagia-Nya kepada kita dengan jutaan cara.

Kita yang melihat mungkin merasa simpati dan kasihan. Tetapi, mereka sebenarnya happy bahagia. Tak perlukan simpati orang.

Makcik gosok-gosok tanganku.

“Kamu ni, nama apa?”

Aku tersenyum.

“Aira.”

Makcik senyum lagi.

“Rupa bersih. Nanti besar jadi ustazah ya?”

Aku tergelak kecil.

“Tak layak pun lah, makcik.”

Makcik pegang kedua-dua tanganku.

“Makcik doakan ya. Tak jadi ustazah pun tak mengapa, tapi jadi seseorang yang mengajak orang lain kepada agama. Apa erti hidup ini, andai ilmu setinggi langit pun. Tapi, tak mampu menuntun jalan ke Syurga sana kan?

Andai Allah dapat menghidupkan orang yang sudah mati. Dia pasti juga boleh menghidupkan balik hati-hati manusia yang mati. Dia yang memberikan hidayah. Makcik doakan, moga kamu menjadi asbab kepada orang lain untuk beroleh hidayah Allah. Amiin.”

Aku angguk kecil. Dalam hati mengaminkan. Moga-moga, suatu hari, aku jadi seperti itu. Walaupun aku, bukan ustazah.

Seketika, kelihatan seorang lelaki tua berjanggut panjang sampai dengan motor roda tiganya. Suami makcik. Manisnya muka pakcik ni. Senyum saja memanjang. Bila sampai saja, dia masukkan guni berisi tin ke dalam bakul besar penumpang. Kemudian, menghulurkan tangannya kepada makcik. Dengan lembut, menarik tangan itu. Bonceng motor sekali dengannya. Benarlah. Memang pakcik itu tiada sebelah kaki.

Mereka melambaikan tangan kepadaku.

Ku balas dengan senyuman.

Berlalu.


Langit segera menjadi gelap.

Kepala Aira sedikit pening. Pandangannya sedikit kelabu. Baru teringat, hari ini seharian dia belum makan apa-apa. Dengan keadaannya sakit-sakit, makin melemahkan daya ketahanan tubuhnya.

Langkahnya makin perlahan.

Hujan rintik-rintik mulai turun. Tapi, tidak dihiraukan. Teruskan perjalanan.

Dari rintikan hujan, akhirnya mulai melebat. Dengan angin yang agak kencang,

Kepalanya makin pening. Tak mahu hentikan langkahnya dalam hujan yang kian lebat. Basah kuyup baju sekolah yang dipakainya.

Aira tak peduli. Dia nak balik rumah juga. Tak nak singgah mana-mana. Dia penat. Sakit.

Pandangannya makin kelam.

Hampir dia nak rebah. Ah. Habislah. Badan dah goyang. Nak pitam.

Tiba-tiba, dia disapa orang dari belakang.

“Awak, ambil payung ni! Cepat!”

Aira yang hampir pitam tadi seakan tersedar kembali. Matanya segar balik. Terkejut kerana disapa orang.

Terkejut sebab lelaki yang berdiri di belakangnya itu serba putih. Berpakaian serba putih. Jubah putih dan berserban.

Seorang pemuda. Ada lencana sekolah tahfiz berdekatan di jubahnya. Mungkin tingkatan 6 agaknya. Rupanya berseri-seri. Sejuk mata memandang. Hensem. Walaupun dalam hujan lebat, boleh nampak dengan jelas.

Yakin. Ni budak tahfiz.

“Lekas! Ambil payung ni!”

Dia mengunjukkan payungnya kepada Aira. Aira menuruti saja. Dicapainya tanpa bantahan.

Pemuda itu tak habis di situ, dia menanggalkan serbannya tiba-tiba.

“Balut tubuh awak tu dengan serban ni. Nanti nampak aurat! Saya pergi dulu ya!”

Pemuda itu segera berlari ke depan Aira.

Aira berteriak sikit dari belakangnya,

“Awak siapa?!”

Dia menoleh sekilas melihat Aira. Seraya melaung,

“Encik Sederhana!”

Aira terkebil-kebil sendirian. Dengan payung di tangannya. Dengan serban putih yang akhirnya dia litupkan menutupi bahu ke dadanya.

Dalam hatinya, tak sangka.

Allahurabbi. Begitu banyak benda yang telah terjadi dalam satu hari.

Akhirnya terpacul dalam nada berbisik dari bibir mulutnya,

“Subhanallah…”

Hujan makin lebat. Suasana makin gelap.

Namun, di dalam hati Aira, cerah macam terkena sinaran mentari.


Hakcipta Terpelihara Rusydee Artz ® 2014

Fiksyen “Aku Bukan Ustazah” ini adalah hak milik Muhammad Rusydi.
Tidak dibenarkan menyalinnya kembali dalam apa jua bentuk sekalipun dan ke mana-mana tempat sekalipun tanpa izin dari penulis.

Advertisements

46 thoughts on ““Aku Bukan Ustazah” – Episod 5

  1. you have a great imagination with sincerity in your writing . it reveals the inner part of yourself with experience that you have being through . May Allah bless you in each action that you have done .I’m looking foward for the next episode . Salam perkenalan dari Istanbul , Turkey .

    Liked by 1 person

      • allah !!! xterkira gembiranye hamba mmbace novel fiksyen in.. best gile.. alhamdu lillah bnyk yg hamba dapat.. jazakallahu khairan kasiran.. hamba brharap cerita ini bole disambungkan kpde ep 6.. kerana hmba mahu tahu ap yg trjadi kpde sahabat aira .. maaf jika xkeberatan hamba mahu share cerita ini.. boleh kah?hamba harap komen ini dibalas secepat mungkin.. terima kasih 🙂

        Like

  2. Kita jaga hak Allah..Allah akan jaga hak kita..Alhamdulillah penulisan yang sangat baik..semoga kita semua mendapat iktibar dari cerita ni dan sentiasa di dalam rahmatNya..

    Like

  3. MasyaAllah. Semoga Allah menambah kebaikan orang yang menulis ini. Paling menusuk hati bukan kisah tentang encik sederhana, tetapi mewahnya pengorbanan dan darjat seorang ayah dan guru. Juga si mak cik yg membuka mata pembaca akan erti nikmat bahagia yg sebenar. Subhanallah. Teruskan usaha murni anda dlm berdakwah dgn penulisan.

    Like

  4. Aduhh,, part ni lah yg paling mendebarkan.. Dari kes gaduh dgn hayati tuh.. Pastu dtg pulak cik sederhana…bikin suspen lah..huhuu..Mcm mana sy nk baca sambungannya?? Tgh sronok nih.. 🙂

    Like

  5. subhanallah…

    dah msuk epi ke 5 ,da ntah brape kali airmata ni meleleh…
    sy btl2 tekesan dgn ayt2 yg di karangi…
    sgt2 tekesan..
    sesungguhnya sy ini pendosa…

    terdetik keinsafan dlm hati..
    syukran jazilan abg Rusydi…
    smg Allah merahmatimu..
    aamiin.. 😥

    Liked by 1 person

  6. Subhanallah..banyak input yg ana dapat dari karya ni.memang dalam dunia ni kat mana mana pun akan ada ibrahnya..wlau drpd orang yg kita pandang hina.suka karakter watak ..jujur dan sederhana.moga Allah prmudahkan 🙂

    Like

  7. saudara di manakah smbungn crita ini . hmba sdah tdak sbr mnntikn krya yg strusnya . mnx izn nk share ngn kengkawan kt skolh . hihihihi i mean story mory blk dkt dorg ap yg ana bca kt sni .

    Like

  8. Alhamdulillah.. Cerita yang hebat.. Cerita yang penuh suka dan duka.. Sangat mmberi kesan kepada hati org yg mmbacanya.. Tapi Ada kekurangan . Dah bebulan xda sambungan.. Hehe. Mngkin anda sdg brusaha untuk epsod selanjutnya.. InsyaAllah.. Dipermudahkan.. Ramai yg sdg menantinya.. Fighting! 😁

    Like

  9. Terbaik .
    Ustaz pernah pesan . Kalau kita jaga aurat kita waktu kita sedar, Allah akan jaga aurat kita waktu kita tak sedar ;’)

    Harap dapat baca sambungannya . Novel pun okei jugak ^^

    Like

  10. masyaAllah… karya yang baik….. harap dapt teruskan smbungan ABU ni…
    suka sgt… moga niat menulis sntiasa diperbaharui hanya untkNYA… =)

    Like

  11. Terharu baca novel “aku bkn ustazah”. Best sgt2.. trdpt byk pengajaran dlm cerita..xsabar nak baca sambungan cerita ni..tahniah. moga Allah memberkati anda..teruskn usaha anda.. jujur cerita ni mmg best..watak aira btol2 mmberi inspirasi yg baik.. jln cerita smpai ke hati dan buat pembaca turut merasakn apa yg dirasa oleh watak dlm cerita..
    bila nak bukukn cerita ni..xsabar nak baca..
    jatuh cinta dgn penulisn anda.. tahniah.

    Like

  12. Assalamualaikum, smoga Allah beri kelancaran untuk penulisan cerita ini. Saya sangat rasa ingin mendidik diri ini menjadi sabar, tabah dan yang baik2 seperti watak2 di dalam 3T dan ABU ini. Semoga pembaca lain juga rasa terdorong untuk membaiki diri menjadi muslimin/muslimat yang soleh/solehah, amiin.

    Like

  13. terima kasih allah,terima kasih sang penulis sye begitu sayu menghayati setiap ayat yg tertulis….terharu sye membuay sye hendak menangis….hope sgt2 semoga allah bagi jln untu sambungan novel ini…. aminnnn

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s