“Aku Bukan Ustazah” – Episod 2

Aku Bukan Ustazah

Episod 2

Karya: Muhammad Rusydi

“Alhamdulillah.”

Aira menggosok-gosok perutnya. Sejak pagi tadi lagi perutnya berkeroncong minta diisi. Fuh. Lega sangat-sangat dapat isi perut dengan nasi berlauk ayam goreng di kantin. Nasib baik harganya berpatutan tak sampai tiga ringgit. Kalau tak, laparlah jawabnya.

“Lepas ni, kelas apa Lis?”

Aira berpaling menghadap kawan karibnya di sekolah. Gadis tinggi lampai. Berkulit kuning langsat. Dia pun baru menghabiskan juadah di depannya.

“Tak silap aku. Matematik. Dua masa.”

Terbayang di minda dan mata Aira guru subjek Matematik. Guru perempuan yang tidak cukup inci tingginya. Kenit sahaja. Namun, penuh ilmu hisab di dada. Namun, pengajarannya agak mendatar. Amboi. Komen macam juri berbayar pula. Aira kurang berminat dengan subjek itu. Tapi, nak tak nak. Kena hadam juga. Kena pasrah juga. Maklumlah subjek wajib SPM.

Tiba-tiba suasana kantin menjadi hingar-bingar.

Aira dan Lis berpaling ke sudut ruangan makan pelajar lelaki. Seperti ada pergaduhan berlaku antara pelajar lelaki. Aira dan Lis berdiri sama-sama. Cuba melihat apa yang sedang berlaku.

Aira dapat mengecam susuk pelajar tingkatan enam bawah. Seorang pelajar lelaki. Nampaknya seperti dikerumuni oleh beberapa pelajar lelaki tingkatan lima. Di sudut bucu kantin, kelihatan seorang gadis terduduk. Budak tingkatan empat. Aira kenal budak tu. Budak kuat usrah di sekolah. Nama budak tu kalau tak silap, Yuyu. Pelajar lelaki tu pula, kalau tak salah, gengster terkenal di sekolah. Orang panggilnya taiko Zam. Mukanya berparut. Terkena cermin tingkap kelas. Akibat ditampar oleh seorang teacher sampai terperosok kena cermin tingkap.

“Kalau nak mengurat pun, biarlah bermaruah! Bukan dengan cara menyakat menjatuhkan maruah perempuan macam ni! Nak jadi lelaki, jadilah lelaki acuan al-Quran! Bukan lelaki acuan Syaitan!”

Dia mendengar bidasan kata-kata yang diluahkan dari mulut lelaki yang bernama Zam tu. Kuat juga teriakannya. Seraya dengan itu salah seorang pelajar tingkatan lima cuba memukulnya dengan kerusi kayu yang ada di kantin. Tapi, disambut dengan pukulan padu ke arah pelajar itu oleh Zam. Terpelanting pelajar lelaki itu.

Tak lama kemudian, guru disiplin datang. Pelajar-pelajar lelaki itu bersurai. Tinggal taiko Zam berdiri di tengah kantin. Aira nampak jejaka berparut di muka itu meminta maaf dengan guru disiplin dan menyerahkan beberapa keping note wang untuk mengganti kerosakan yang berlaku pada perabot kantin. Kemudian, dia juga berlalu di situ dengan seorang kawannya.

Aira dan Lis berjalan menghampiri si gadis yang bernama Yuyu itu.

“Awak tak apa-apa?”

Ditariknya Yuyu bangun. Nampak gadis itu sedikit trauma.

“Jangan risau. Awak dah selamat. Pelajar yang kacau awak tadi dah terima balasannya.”

Aira menggenggam tangan Yuyu erat-erat.

“Mari, akak hantarkan ke kelas.” Aira tersenyum pada Yuyu. Aira memerhatikan wajah Yuyu. Wah. Cantik betul budak ni. Patutlah ramai pelajar lelaki yang ganggu dia. Patut budak ni pakai purdah ke sekolah. Sebab dah jadi fitnah. Kalau wajah dah jadi fitnah, memang wajib pakai. Itulah yang dia tahu.

“Abang Zam tu baik kan sebenarnya?”

Yuyu memulakan bicara.

“Yup. Akak pun tak sangka. Don’t judge a book by its cover. Mungkin cover dia teruk. Buruk. Tak hensem. Tak tampan. Tak segak. Tak segala bagailah. Tapi, mungkin isinya sangat indah. Menggamit hati orang yang membacanya. Muka mungkin gengster. Tapi, hati penuh iman. Siapa tahu?

Sebab itulah, Allah tidak melihat kepada paras luaran kamu. Tetapi, Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu. Allah tak lihat orang yang cuma  ada rasa cinta setinggi langit. Tapi Allah melihat kepada orang yang cintai-Nya lebih dari segala isi langit dan bumi. Cewah.”

Aira tersengih sambil membalas bicara Yuyu. Lis sibuk mengemam gula-gula dalam mulut.

“Huiyo. Akak ni dah macam ustazah lah.” Yuyu tersenyum sama. Menampakkan gigi arnabnya yang comel.

“Eh, akak bukan ustazahlah. Tak layak pun tahu.” Aira tersengih lagi. Kena puji ni kembang semangkuk juga.

“Siapa kata tak layak? Meski pendosa pun layak jadi ulama. Seandainya Tuhan mengizinkan, segalanya mungkin. Lihatlah para sahabat Nabi s.a.w., mereka semua bermula dengan pendosa namun jadi orang yang tertinggi di sisi-Nya. Malahan, dijamin masuk Syurga. Maksudnya, Allah tak kira bagaimana seseorang itu bermula. Tetapi, Allah mengira pengakhirannya. Bermula penuh tertib tetapi tidak istiqamah, buat apa juga. Andai baik di permulaan, tetapi teruk di pengakhiran. Tak berguna juga.

Jadi, semua orang pun berpeluang. Semua orang boleh jadi baik. Apatah lagi akak yang baik, lemah lembut dan baik ni. Kan kan?”

Yuyu pandai mengambil hati. Aira tersenyum girang. Dalam hatinya mengaminkan. Kalau dekat rumah ni, dah terloncat-loncat atas katil. Atau pergi menyanyi dalam bilik air dengan menjadikan gayung sebagai mikrofonnya sebagai tanda terlampau happy. Atau buat lempeng cicah susu pekat manis untuk ayahnya secara tiba-tiba. Ayahnya selalu saja menjadi mangsa keceriaan terlampaunya.

“Kalau jadi ustazah, best juga tu. Boleh marah macam Ustazah Raihanah! Bergegar-gegar kelas!” Hatinya berbisik sendiri. Ketawa sendiri. Terbayang biji mata para pelajar lelaki terkeluar bila kena marah dengannya nanti kalau dia jadi ustazah. Jagalah kamu semua nanti ha! Ustazah Aira akan menggegarkan dunia. Siapa kata tangan yang menghayun buaian tidak mampu menggoncangkan dunia? Siapa kata?!

Tangannya terangkat tinggi ke udara macam pemidato tiba-tiba. Dah macam debat perdana peringkat universiti pula.

Yuyu dan Lis terpele’ot seketika melihat telatah Aira yang mengangkat sebelah tangannya macam dapat piala dunia. Macam menang tempat pertama pertandingan lari dalam guni pun ada. Aira tersipu-sipu malu. Baru tersedar dari lamunannya.

“Sorry. Akak tiba-tiba lenguh tangan tadi. Betulkan urat lengan ni ha. Entah kenapa entah.” Cover. Padahal.

Yuyu dan Lis mata ke atas serentak secara berjemaah. Aira tersengih macam kanggaru.

**

Kelas Matematik bermula.

Hampir separuh pelajar sudah memberikan reaksi awal secara spontan. Berlaku secara natural dan automatik. Tanpa paksaan.

Reaksi pertama. Mulut terbuka sedikit. Menguap-nguap. Tangan menekup-nekup mulut yang terbuka. Ada juga yang membiarkan saja mulut ternganga luas. Ada siap berbunyi lagi, “Huargh ngantuknya.” Tapi masih dalam tempo perlahan. Sekadar didengar antara kawan-kawan sekelas.

Reaksi kedua. Mata terkebil-kebil. Kemudian, kelopak mata mulai layu. Akhirnya, biji mata tidak lagi kelihatan. Buku teks diletakkan di depan muka. Jadi penghalang.

Reaksi ketiga. Mata tengok di depan. Tangan salin nota. Kepala melayang-layang entah ke mana. Bila ditanya, buat muka blur.

“Aira, cuba jawab soalan ni!”

Guru Matematik yang kecil molek di depannya itu mengarahkannya ke depan untuk menyelesaikan permasalahan kira-kira.

Aira yang ketika itu mata dah separuh layu, hampir terkeluar biji mata bila namanya diseru.

“Masya-Allah, cikgu. Soalan ini saya pernah jawab ni di rumah. Memang tak terjawab. Sampailah ke hari ini saya masih lagi memikirkannya. Buntu. Oh, tidak. Tak sangka takdir menentukan, hari ini bertemu lagi soalan begini. Astaghfirullahaladzim.”

Aira berdiri sambil cuba mengelak dari menjawab soalan.

“Awak ni Aira. Tahun ni dah enam belas kali awak gagal jawab soalan. Tapi, jawapan punyalah warak. Macam ustazah dah.”

Aira tersengih-sengih. Garu-garu kepala.

“Maafkan saya, cikgu. Saya memang tak mampu jawab soalan sesukar ini.”

Cikgu Matematik menggeleng-gelengkan kepala.

“Balik rumah, buat 20 soalan berkenaan soalan ini dan hantar ke meja saya esok ya ‘Ustazah’ Aira!”

Aira terus terduduk. Kedua-dua tangannya memegang kepalanya sendiri. Buat gaya kecewa macam pemain bola gagal menjaringkan gol. Tersasar tendangan. Bola terkena palang gol. Drama sungguh. Kawan sebelahnya ketawa terkekek-kekek.

“Yang sebelahnya pun sama! Esok hantar!” Cikgu Matematik menjeling manja ke arah Lis.

Lis pula buat muka Usop Sontorian jatuh pokok kelapa. “Kena juga. Alamak ai!” Menepuk dahinya sendiri.

Cikgu Matematik memandang ke arah seluruh kelas. Yang mana tertidur tadi, lekas-lekas bangkit buat-buat tekun belajar. Konon fokus. Masing-masing tak berani pandang cikgu tersebut. Bimbang disoal. Para pelajar lelaki lebih-lebih lagilah tak mahu jawab. Bimbang jatuh air muka depan pelajar perempuan bila tersalah kira. Nanti dikata bodoh tak pasal-pasal.

“Cuba pelajar baru. Yang di belakang tu. Silakan.”

Pembaris di tangan cikgu diunjukkan ke arah Hayati.

Hayati bangun berdiri. Dengan selamba berjalan ke depan. Mengambil marker. Mulai menyelesaikan masalah kira-kira yang tertera di papan putih.

Tak sampai 5 minit. Semua soalan diselesaikan termasuklah soalan yang tidak disuruh jawab pun dijawabnya. Ada lima soalan diberikan guru di papan putih. Kelima-limanya dibereskan dengan cepat.

“Wah, hebat sekali! Berikan tepukan gemuruh pada Hayati!”

Cikgu Matematik kagum dengan kepandaian pelajar baru. Memang pelajar sekolah kluster ternyata bukan calang-calang pelajar. Genius. Aras pemikiran mereka juga lebih ke depan berbanding pelajar di sekolah arus perdana yang biasa.

Seluruh pelajar memerikan tepukan gemuruh pada Hayati. Namun, pelajar itu selamba saja. Senyum pun tidak. Hanya pandang sebelah mata pada tepukan yang diterimanya.

“Boleh tak berhenti tepuk? Kebudak-budakan.”

Pelajar-pelajar terdiam. Berubah terus air muka para pelajar dalam kelas 5 Bestari.

“Tepuk tangan ni budak sekolah rendah saja. Lagipun, soalan yang diberikan adalah soalan asas pengiraan saja. Takkan benda semudah ini pun nak tepuk tangan?”

Hayati membuka langkah ke arah tempat duduknya. Tanpa menghiraukan reaksi-reaksi yang diterimanya dari rakan-rakan kelasnya. Ada yang buat muka tak puas hati. Ada yang ketap bibir. Ada yang geram.

Cikgu Matematik itu cuma terdiam melihat gelagat Hayati. Terasa malu juga dirinya. Malu sebab suruh budak-budak tepuk tangan. Pada anggapannya, bila diberikan tepukan, ianya akan jadi satu motivasi kepada pelajar-pelajar lain untuk jawab soalan juga. Para pelajar dari sudut positifnya, suka andai diri masing-masing diberikan ganjaran walaupun hanya sekadar tepukan. Sokongan moral sangat penting. Itu pada pandangan daifnya. Itu pada fikiran ceteknya.

“Baiklah, cikgu akan berikan kerja rumah mengenai bab yang kita sedang belajar ini untuk dibuat revisi di rumah masing-masing. Kita buat latih-tubi sebanyak 50 soalan. Makin banyak kita buat latihan, makin kita mahir Matematik. Itulah asasnya. Asas dan kecekapan sifir serta penggunaan formula yang betul, pasti akan memberikan jawapan yang tepat. Dalam Matematik, pengiraan mungkin berbeza bagi setiap orang. Tapi jawapannya mesti tepat dan betul. Kita kena sabar dan tidak gopoh dalam menackle soalan. Mudah-mudahan, jawapannya akan kita ketemukan jua nanti.”

Hayati yang berada di tempat duduknya tadi mengangkat tangan.

“Saya tak rasa apa yang cikgu cakap tu betul. Sebenarnya, Matematik ini, kalau otak tu lembap, maka pengiraan pun lambat. Masa jawab dalam dewan peperiksaan bukannya ada dua tiga jam untuk setiap pelajar habiskan jawab. Siapa yang otaknya ligat, pasti boleh jawab dengan pantas. Ibaratnya, nak ke Kuala Lumpur dari bandar sini ada banyak cara. Takkan nak pilih jalan kaki kot ke sana? Naik flight-lah baru cepat sampai. Kalau tak cepat, nak perlahan-lahan jawab sambil sabar. Memang habis masa macam tu sajalah. Ingat jawab Matematik ni macam puasa di bulan Ramadhan ke nak kena sabar tahan lapar dan dahaga?”

Tiga lagi rakannya yang dari sekolah kluster, tergelak sama. Bersetuju dengan Hayati.

Cikgu Matematik terus tersentap.

Pelajar-pelajar lain juga nampak menyirap.

Lantang dan lancang sungguh mulut si gadis bernama Hayati ini.

Namun, cikgu Matematik tidak marah. Dia diam. Memang dia seorang yang lemah lembut. Sopan santun. Semua orang kenal dengan cikgu ini tak pernah sekali pun pukul pelajar di sekolah itu. Pelajar selalu buli cikgu tersebut, namun dia tak pernah membalasnya hatta dengan makian sekalipun. Marahnya cuma dalam berseloroh. Sabarnya lebih dari itu.

“Terima kasih untuk pandangan kamu itu, Hayati. Mungkin ada juga betulnya. Tak mengapa, cikgu boleh terima pendapat itu.”

Cikgu Matematik menjawab penuh humble.

“Cikgu, saya ada pandangan yang lain.”

Rakannya pula mencelah.

Cikgu Matematik mempersilakan. Memberikan laluan dengan lapang dada.

“Kalau saya kata, pelajar-pelajar di sini lembap kerana gurunya, boleh tak? Guru-guru di sekolah lama kami, semuanya first class. Bukan guru sekadar lepasan ijazah perguruan atau maktab. Tapi sampai peringkat PhD dan sijil professional. Ada kepakaran dalam bidangnya. Malahan, penyampaian mereka berkesan. Terus saja kepada poin. Tidak meleret-leret. Bukannya masuk kelas, tulis soalan di white-board kemudian bertanya pada pelajar. Buat apa tanya pelajar yang memang tidak dapat jawab soalan? Misalnya pelajar tadi ‘pandai’nya pada reka alasan saja. Jawab sajalah, ‘saya bodoh, cikgu’. Terima kasih.”

Pelajar itu duduk setelah memberikan pandangan.

Kelas jadi hingar-bingar. Pandangan-pandangan yang serius membingitkan telinga para pendengarnya.

Aira tersentap terus. Dialah pelajar ‘bodoh’ yang dimaksudkan mereka tu. Oh, terasa ke lubuk hatinya. Dia menggenggam tangannya. Lis memegang bahu Aira. Suruh dia bersabar. Bertenang.

Cikgu Matematik jelas juga terasa.

Namun, dia masih berdiri dengan senyuman. Tak mengapa. Biarlah. Dia mengaku dalam hati, memang dia tak pakar mengajar subjek itu. Bukan juga antara pelajar cemerlang dalam subjek tersebut ketika di sekolah dan universiti. Dia mengajar mengikut opsyen perguruan. Oleh kerana opsyennya adalah opsyen Matematik, dia turun dengan seikhlas hati dan sehabis daya untuk memberikan yang terbaik buat pelajarnya. Andai masih belum tercapai, memang silap dirinya.

“Terima kasih untuk pandangan yang kedua. Betul juga apa yang dikatakan rakan kita itu tadi. Lagi, ada pendapat lain? Mungkin kita boleh kongsi-kongsikan bersama. Bagus juga untuk mantapkan lagi subjek yang kita sedang belajar ini.”

Cikgu Matematik terus tenang. Namun, riak senyumannya tampak hambar juga.

Manusia yang punya hati, pasti tidak dapat lari dari rasa sakit tertusuk duri. Duri dari lidah tidak bertulang lebih bisa dari duri sembilu yang sebenar.

Rakan yang ketiga dari geng pelajar baru pula berdiri.

“Saya pun nak komen.

Jujurlah saya nak berterus-terang. Cara cikgu mengajar ni sebenarnya membosankan. Cikgu tengoklah sendiri, pelajar-pelajar dalam kelas ini ada yang tidur. Ada yang berkhayal sampai ke dunia mana entah ketika cikgu mengajar. Ada yang siap berbual lagi sesama sendiri tanpa menghiraukan apa yang sedang berlaku di depan mereka. Pemikiran-pemikiran pelajar kelas ini ternyata masih di tahap kanak-kanak riang. Tidak serius nak hadapi peperiksaan yang menentukan hala tuju masa depan. Mereka ingat, ini subjek darjah 5. Exam lambat lagi. Don’t worry be happy. Memang absent-minded.

Saya fikir, guru yang mengajar juga sebenarnya tidak serius. Masih mampu berlenggang. Cuma nak habiskan silibus mata pelajaran saja. Sebab cikgu tak seriuslah, murid pun sama tidak serius. Guru kencing berdiri, murid kencing berlari!”

Rakan yang keempat juga bangun menyambung kata.

Better stop sajalah mengajar cara macam ni. Better kita mula buat soalan-soalan peperiksaan. Soalan-soalan klon dan latih-tubi peperiksaan sebenar. Berikan soalan-soalan aras tinggi. Biar pelajar lasak dengan soalan yang susah. Dengan ini, soalan yang senang di aras sederhana dan mudah tidak lagi menjadi halangan besar. Tapi, kalau nak duduk tahap soalan aras rendah macam ni, sampai bila-bila pun tak dapat nak jawab soalan aras tinggi. Masuk exam, tengok soalan terus ambil keputusan untuk skip soalan tu atau tinggalkan terus saja tidak berjawab. Ni semua salah siapa? Salah guru mengajar!

Pelajar-pelajar pun tak usah serius sangatlah belajar hanya dalam kelas. Macam itik kena suap makan. Pergilah tuisyen pakar. Ambil kelas persendirian. Usaha sendiri habiskan silibus. Ramai yang berjaya, bukan sebab belajar di sekolah, tapi belajar di luar sekolah. Cikgu-cikgu sekolah hanya tahu makan gaji saja. Tapi, cikgu-cikgu di luar sana mengajar dengan sehabis ikhtiar terbaik sebab mereka tahu, mereka kena kerja keras untuk pusat tuisyen masing-masing. Tak harapkan duit kerajaan semata-mata!

Nampak tak?”

Pelajar-pelajar itu duduk setelah memberikan pandangan demi pandangan.

Cikgu Matematik tergamam. Nampak sebak sedikit.

Hatinya yang tadi sudah berkocakan. Mulai goyah.

Kalau tadi, pelajarnya baru menampakkan bibit-bibit tidak puas hati secara berlapik. Namun, kata-kata mereka makin direct. Makin terang. Malahan, terus-terang attack dirinya. Attack depan pelajar-pelajarnya sendiri. Tergugat kredibilitinya. Integritinya tercalar-balar sekarang!

Mana mahu letak muka? Pelajar-pelajar menyerangnya bertubi-tubi mengalahkan pihak kenaziran dari Jabatan Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah!

Serius sakit hati.

Komen-komen yang diterimanya sejurus sebentar tadi mengoyakkan kesabarannya. Menjatuhkan maruahnya sebagai seorang guru!

Kenyataan mereka itu pedas, tapi betul. Tetapi, aibnya tersingkap di khalayak. Komentar yang tidak berhati perut.

Pelajar-pelajar lain nampak tidak puas hati juga dengan pandangan-pandangan dari para pelajar baru. Tapi, apakan daya. Andai mereka bersuara, bimbang lain pula jadinya. Jadi, masing-masing cuma kelu menanti respon guru di depan mereka itu. Mereka harap guru itu akan bersuara dan balas balik.

“Alhamdulillah.

Terima kasih atas pandangan-pandangan yang bernas dari para pelajar baru. Cikgu ucapkan jutaan terima kasih. Memang cikgu akui, cacat-cela pengajaran cikgu. Namun, insya-Allah di masa depan..cikgu akan cuba berikan yang lebih baik untuk para pelajar sekalian. Cikgu tak mahu apa-apa, cuma mahu tengok kamu semua berjaya…”

Cikgu Matematik menahan sebak di dada.

Badannya sedikit menggigil. Antara menahan pedih di hati dan dalam masa yang sama memaksa diri untuk bertahan di hadapan para pelajarnya.

“Cikgu, tak cukup hanya dengan berharap dan cuba untuk berikan yang terbaik. Itu bertangguh namanya. Inilah sebabnya Melayu kita tak maju. Banyak sangat berharap. Buatnya tidak. Harapan dan impian tinggi sampai mencecah awan biru. Padahal masih langit berpijak di atas bumi tandus!”

Hayati mencelah dengan suara yang agak tinggi.

Ayatnya ditujukan tepat ke arah cikgu Matematik di hadapannya.

Macam terkena renjatan elektrik. Guru itu terdiam terus.

Apa sahaja kata-katanya kini menjadi kesalahan. Dicari silap dan salah. Dicari tempat yang lemah. Diselak tempat yang luka. Di tempat-tempat itulah serangan demi serangan akan ditumpukan.

Cikgu Matematik yang tadi masih mampu mengukir senyum, kini senyuman itu hilang ghaib.

“Cikgu, izinkan saya pula berikan pandangan.”

Suara datangnya dari arah belakang kelas juga. Para pelajar dan cikgu Matematik berpaling ke arah suara itu.

Suara Aira. Tangannya diangkat tinggi minta laluan untuk bersuara. Cikgu Matematik agak keberatan untuk mengizinkan, tetapi dianggukkan kepalanya tanda lampu hijau diberikan.

Aira berdiri.

“Assalamulaikum.

Pertama sekali, terima kasih tak terhingga diucapkan kepada para pelajar baru kita ini semua. Hujah yang sangat mantap. Bernas. Hebat. Gah. Elegan. Namun, sayang seribu kali sayang. Hujah-hujah ini sebenarnya kekurangan sedikit perisa. Ibarat makan megi, tapi langsung tak letak perencah. Apa rasanya? Sedap?

Baiklah, tidak mahu melengahkan masa. Saya terus saja kepada poin saya yang pertama.

Subjek Matematik memang sangat penting. Namun, saya dapati subjek ini tidak ada kaitan dengan lembap atau tidaknya otak seseorang itu. Misalnya, saya dapati beruk yang panjat pokok kelapa pun pandai mengira. Antara lima ketul pisang dan sepuluh ketul pisang, beruk itu pasti akan memilih sepuluh ketul pisang. Maknanya, beruk itu faham tentang kuantiti. Tahu kira yang kuantiti banyak itu lebih menguntungkan dirinya. Malahan, beruk itu mampu buat keputusan untuk pilih sepuluh ketul pisang itu dalam waktu yang singkat. Tak perlu fikir banyak pun. Persoalannya, adakah beruk ada minda yang cergas untuk buat pengiraan sedemikian pantas?

Saya percaya, Cik Hayati juga ketika dulu asalnya berotak lembap. Cuma nasib baik sahaja. Maksud saya, nasib baik ada manusia bernama cikgu yang mengajar cik Hayati ketika masih di tadika, ketika di sekolah rendah hatta masuk ke sekolah menengah. Kalau tak ada cikgu-cikgu, saya percaya sampai sekarang kamu tidak mungkin dapat menjawab soalan selancar tadi.

Saya percaya, jika beruk pergi ke sekolah dan mendapat ajaran cikgu dengan teliti, pasti hari ini, ia juga boleh mengira macam orang tu tadi.”

Kelas gamat seketika dengan helai-tawa para pelajar.

Hayati berang dengan jawapan Aira. Dia cuba berdiri dan menjawab balik. Tapi, segera dicantas.

“Sabar dulu Cik Hayati. Duduk. Saya tak nak berikan laluan. Macam dekat dewan rakyat. Saya baru sampaikan poin pertama. Poin pertama pun tak habis lagi sebenarnya.

Adakah juga Cik Hayati and the gang berani mengatakan, Rasulullah s.a.w. yang hidup selama 40 tahun sebelum turunnya wahyu yang pertama itu otaknya lembap kerana Baginda s.a.w. adalah seorang yang buta huruf. Tidak tahu menulis, membaca apatah lagi pengiraan kompleks seperti kita belajar sekarang?

Tahukah Cik Hayati dan rakan-rakan seperjuangannya, topik yang kita belajar hari ini adalah topik baru di tingkatan 5? Baru minggu lepas kelas kami pelajari benda ini. Takkan minggu lepas belajar, minggu ni dah mahir mengalahkan guru? Bukan kerana guru tidak pandai mengajar, bukan kerana otak pelajar lembap, tetapi benda baru ibarat baru dapat lesen memandu kereta. Baru dapat lesen seminggu, dah mahir macam orang yang dah berpuluh tahun dapat lesen? Tahukah Cik Hayati, Rasulullah s.a.w. sendiri mengulang dan belajar al-Quran, mengikut hafalan, tajwid, tarannum dan cara baca dengan betul ikut bacaan Malaikat Jibril a.s. banyak kali? Bukannya sekali dapat wahyu, dah mahir selok-belok al-Quran. Dah mahir cara baca al-Quran. Tidak.

Belakang parang andai diasah bertalu-talu setiap hari juga akan menjadi tajam.

Tak boleh jawab soalan bukan kerana tidak pandai. Tetapi kerana tidak rajin. Kalau kamu nak salahkan kami atas alasan malas, itu boleh diterima. Memang diakui zaman berzaman, orang yang malas tidak pernah untung. Nak meniru dalam peperiksaan, kalau malas, tak menjadi juga. Pokok pangkalnya rajin berusaha, dia berjaya. Rajin buat latihan siang dan malam, dia berjaya.

Ada guru pakar baru berjaya? Ada guru berpendidikan tinggi baru berjaya? Cuba tengok pelajar di pondok. Adakah tok-tok gurunya ada PhD, ada bermacam jenis sijil dan anugerah? Ada. Tapi segelintir. Mereka orang biasa, tetapi mereka suka membaca, menimba ilmu di serata negara. Kemudian, mengajarkan kembali kepada anak bangsa di pondok. Mereka dikenali sebagai ulama.

Adakah kerana ulama ini tidak berpendidikan tinggi, kita boleh memperlekehkan mereka? Ilmu kita banyak mana sangat sampai nak merendahkan ilmu orang lain? Jangan kerana ilmu hanya setakat habis silibus SPM, nak bersuara tinggi pada orang yang dah belajar lebih daripada itu. Kamu tahu ke berapa banyak buku dan rujukan, berapa banyak buku latihan, berapa banyak pengalaman sepanjang untuk menjadi seorang guru?

Eh. Tak semua benda ada jalan singkat. Tadi kamu sebut nak naik flight bagai supaya cepat sampai. Tapi, dengan berkata-kata tidak berlapik seperti tadi, agak-agak dapat masuk Syurga dengan sepantas kilat dan sekelip mata? Usah bermimpi.

Itu poin pertama. Selesai satu poin.”

Aira lantang menyampaikan pandangan. Tegas.

Seluruh kelas memberikan tepukan gemuruh pada gadis itu.

Hayati dan rakannya merah padam muka. Geram.

Aira tidak menghiraukan mereka. Terus menyambung hujah.

“Baiklah. Poin kedua.

Suka saya menukilkan nasihat daripada ayahanda saya yang tercinta yang cuma bekerja sebagai penjual ais kacang. Hanya sekadar berpendidikan SPM. Peniaga jalanan.

Ayahanda saya itu orangnya suka membaca. Suatu hari, beliau terjumpa mutiara kata yang baik lalu disalinnya dan diberikan kepada saya untuk dihafal. Jadi, izinkan saya perdengarkan hafalan saya kepada kamu semua terutamanya para pemidato bebas tadi.

Imam Malik rahimahullah ada berpesan kepada seorang pemuda Quraisy,

‘Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu’.

Malahan, ibu kepada Imam Malik sendiri pernah berpesan kepada beliau dengan pesanan yang hampir sama ketika menyuruhnya menimba ilmu dengan seorang yang faqih di Kota Madinah bernama Rabi’ah Ibnu Abi ‘Abdirrahman. Kata ibunya,

‘Pelajarilah adab darinya sebelum mengambil ilmunya.’ Impak dari pesanan bondanya itulah, tercatat dalam sebuah kitab, seorang ulama mengatakan mengenai Imam Malik,

‘Yang kami nukil dari Imam Malik lebih banyak dalam hal adab dibandingkan ilmunya.’

Seorang wali Allah yang bernama Yusuf bin Al-Husain al-Razipula berkata,

‘Dengan mempelajari adab, maka engkau jadi mudah memahami ilmu.’

Ibnu al-Mubarak pula berkata,

‘Kami mempelajari masalah adab itu selama 30 tahun sedangkan kami mempelajari ilmu selama 20 tahun.’

Malahan, Nabi s.a.w. datang dengan pedoman akhlak dan adab yang termulia sekali di dunia ini sedari Baginda s.a.w. kecil lagi sehingga digelar Al-Amin. Mana mungkin orang yang tidak berakhlak dan tidak beradab boleh digelarkan sebagai orang yang amanah dan boleh dipercayai? Nabi s.a.w. sendiri mengajarkan kepada kita sebuah doa bersangkut dengan akhlak. Bagus doa ini bagi orang yang masih tidak mendapat petunjuk di hatinya. Yang masih buta mengenai adab dan akhlak, eloklah bermula dengan doa ini.

Sabda Nabi s.a.w. dalam sebuah hadis sahih,

‘Allahummahdinii li ahsanil akhlaaqi laa yahdi li-ahsanihaa illa anta, washrif ‘anni sayyi-ahaa, laa yashrif ‘anni sayyi-ahaa illa anta.

Ertinya: Ya Allah, tunjukilah padaku akhlak yang baik, tidak ada yang dapat menunjukinya melainkan Engkau. Dan palingkanlah kejelekan akhlak dariku, tidak ada yang memalingkannya kecuali Engkau.’ (HR. Muslim, No. 771, dari ‘Ali bin Abi Talib)’”

Belum sempat lagi Aira menghabiskan ayat, terus dipotong oleh pelajar baru.

“Woi. Apa yang kau berceramah ni pula? Ni subjek Matematik. Bukan subjek agama!”

Aira terus menjawab.

“Subjek Matematik, subjek apa jua sekalipun di atas muka dunia ini tidak pernah berpisah dengan agama!”

“Poin aku di sini, tidak guna ilmu tinggi sampai ke bulan. Tapi, adab dan akhlak masih lagi di tahap longkang.

Daripada Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang mafhumnya,

‘Pelajarilah ilmu, pelajarilah ilmu dengan tenang, sopan dan rendahkanlah dirimu terhadap orang yang kamu ambil ilmunya “ (Riwayat Ath-Thabrani)

‘Tidak termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang besar ( lebih tua ) dari kami, tidak mengasihi orang kecil ( kanak-kanak ) dari kami, dan tidak mengetahui hak orang alim dari kami.’ (Riwayat Ath-Thabrani)

Imam Syafi’i yang berguru dengan Imam Malik ada menyatakan,

‘Pernah aku menyemak (membuka) lembaran kertas di depan Imam Malik dengan lembut kerana kewibawaannya, agar beliau tidak mendengar bunyi bising (ketika menyelak lembaran kertas) darinya.’

Ar-Rabi’ yang menjadi anak murid kepada Imam Syafi’i pula berkata,

‘Demi Allah, aku tidak berani meminum air sedangkan As-Syafi’i melihatku kerana rasa hormat kepadanya.’

Nah! Sampai ke tahap itu sekali sikap dan adab para murid terhadap gurunya. Tidak kiralah guru baru atau guru lama. Guru tetaplah guru. Murid tetaplah lebih rendah kedudukannya dari guru.

Adakah kamu semua merasa lebih mulia dibandingkan dengan Imam Malik, Imam Syafi’i dan para ulama terdahulu? Sampai berani nak mempertikaikan kredibiliti seorang guru? Sampai hilang hormat menyuruh guru berbuat itu dan ini sesuka hati?

Kalau dah rasa bagus sangat, berhentilah jadi pelajar. Pergilah jadi guru. Kemudian, jangan marah jika ada pelajar-pelajar kamu pula yang berkata sedemikian pada kamu nanti. Ingat, dalam Islam tiada karma. Tapi, balasan buruk dan baik itu ada. Balasan dosa pahala itu ada. Balasan Syurga Neraka itu ada! Dunia ini ibarat roda, hari ini kau di atas, esok kau di bawah!

Sepatutnya, kamu semua yang sudah mahir bantu guru. Bantu rakan-rakan. Bukan mendabik dada kagum dengan diri sendiri!

Orang yang tiada adab, tidak layak dihormati. Ikutlah sama ada pelajar itu pernah sekolah kluster ke, pelajar antarabangsa ke pelajar terpandai di cakerawala ke.

Ilmu yang kamu ada itu, jangan sampai jadi istidraj dari Allah.

Masa depan cemerlang bukan kerana kebijaksanaan kamu. Tapi kerana izin Allah. Bayangkan andai Allah tak izin?

Jangan sangka, otak bergeliga itu juga milik kamu. Tu pun mujur Allah pinjamkan.

Nampak tak?

Sekian, terima kasih.”

Aira duduk diselangi tepukan gemuruh dan sorakan seluruh ahli kelas.

Keempat-empat pelajar baru merah padam muka. Malu dan marah. Berdesing telinga.

Cikgu Matematik mulai tersenyum. Tak sangka, Allah bantu sekelip mata. Alhamdulillah, ada pelajarnya yang bangun membela. Walaupun marah bukan sikapnya, tapi dia juga rasa, pelajar-pelajar baru itu perlu diajar. Jangan sampai naik pijak kepala.

Hayati dan geng bangun berdiri.

“Macam ini ke sekolah cemerlang? Baik kami balik rumah tidur sajalah.”

Aira mencantas kata,

“Kalah hujah terus nak balik rumah? Ingat sekolah ni kau punya ke nak balik rumah sesuka hati?”

Hayati dan gengnya berang. Lantas Hayati mengambil buku teks di depannya. Dicampakkan ke arah Aira.

Tapi sayang.

Aira pantas menepis kembali buku tersebut dengan segera. Kuat pula tu. Terpelanting kembali ke muka Hayati.

DISH!

“Aduh..”

Hayati hampir tersungkur. Disambut oleh rakan-rakannya.

Pelajar-pelajar dalam kelas gelak ramai-ramai melihat aksi spontan dua gadis itu.

“Woi, budak miskin! Kau ingat kau tu hebat sangat ke? Tadi kata bapak kau jual ais kacang saja kan? Ada hati nak sound kitorang! Kau siapa?!”

Aira menjawab ringkas,

“Lebih baik jadi budak miskin dari jadi anak orang kaya yang tak ingat Tuhan.”

Keempat-empat pelajar baru itu betul-betul marah.

“Wei, berkhutbah minah ni! Pergi masuk pondoklah, ustazah! Kalau ustazah betul, tak mengapalah juga. Ni ustazah jadi-jadian. Padahal dia pun sama saja bangsat! Berlakon saja lebih! Nak bodek cikgu, nak markah tinggi. Padahal belajar tak pandai. Bodoh. Stupid girl!”

Aira cuma tersenyum. Berpeluk tubuh.

“Aku tak kisah kau semua nak kata apa. Katalah apa saja.

Aku bukan ustazah.

Aku cuma berkata apa yang aku rasa ianya benar.

Tak perlu tunggu nak jadi ustazah baru boleh berkata-kata. Baru boleh berceramah. Baru boleh beri tazkirah. Baru boleh berkhutbah.

Hidayah itu milik Allah. Hidayah itu bukan milik ustazah!”

Pelajar-pelajar baru itu berlalu keluar dari bilik darjah sambil menjeling pada cikgu Matematik, Aira dan rakan-rakan kelas yang lain.

“Kau ingat baik-baik, budak miskin. Benda ni takkan habis di sini!”

Aira cuma memperhatikan mereka keluar dengan tidak beradab, tanpa hormat walaupun dengan kehadiran guru dalam kelas.

Dia tak takut ugutan. Tak gentar apa pun yang bakal terjadi. Kerana dia pasti, orang yang berada di landasan yang benar, pasti Allah lindungi. Malah, Allah hantar malaikatnya untuk menjaga hamba-Nya yang dikasihi.

Lis pegang erat tangan Aira. Seolah-olah membisikkan padanya,

“Jangan takut. Allah bersamamu.”


Hakcipta Terpelihara Rusydee Artz ® 2014

Fiksyen “Aku Bukan Ustazah” ini adalah hak milik  Muhammad Rusydi.
Tidak dibenarkan menyalinnya kembali dalam apa jua bentuk sekalipun dan ke mana-mana tempat sekalipun tanpa izin dari penulis.

Advertisements

41 thoughts on ““Aku Bukan Ustazah” – Episod 2

  1. 😀 Subhanallah.. best baca ni byk ilmu dpt di samping ketawa2 sikit mcm kuntilanak perati sikap Aira ni. 😀 xsangka ada Zam & Cik Yuyu kat sini. wow! adakah Aira sempat jumpa Abg Jaga? 😦

    Like

  2. ‘Sebab itulah, Allah tidak melihat kepada paras luaran kamu. Tetapi, Allah melihat kepada hati kamu dan amalan kamu. Allah tak lihat orang yang cuma ada rasa cinta setinggi langit. Tapi Allah melihat kepada orang yang cintai-Nya lebih dari segala isi langit dan bumi. Cewah.”’ Hoho~~ Like diz hehe 🙂

    AlhamduliLlah… plot cerite yang konsisten, ada flow tersendiri, feel ‘alive’ watak2 dlm nie, ermm good job Incik Syabab. Jika boleh saya cadangkan penambah baikan untuk watak Aira tu, jadikann watak itu lebih ‘realistik’ maksud saya susunan2 hujah2 dari dia tu not too much and deep sbb rasa mcm osem betul Aira tu mcm Ostajah betul dah hehe… Saya ngerti karakter yg ingin di bawa Aira itu ‘Aku Bukan Ustazah’ meaning x semestinya Ustazah baru boleh bagi hujah, cume terlalu sempurna nampak daripada hujah2 yg di keluarkan… Hehe… Peace tau Incik Syabab 🙂 Allahua’lam (itu dari pandangan saya yg marhaen dan msh krg ilmu tp berusaha nak crk ilmu dan beramal dgn apa yg mampu mcm Aira jgk 🙂 ) Allah Knows Best!

    Anyway, Keep it up!

    Like

  3. Assalamualaikum
    mohon utk copy quote2 mengenai kelebihan adab utk disebarkan. saya akan sekalikan sumbernya dr karya en rusydeeartz insyaAllah

    Like

  4. Dah episod kedua… baru sempat baca.. wahhh…best juga layan citer ni.. hebat betul berpemidato dalam fiil loyar buruk dia… saya berpendapat, Aira dah osem sangat la…mmg klo sehebat itu hujahnya ttg para alim ulama, mmg dia boleh saja digelar ustazah… dan mmg rasa geram tgk org2 yg bersekongkol yg tak hormat guru.. ish..ish.. mmg sukalah saya membayangkan keberanian si Aira membidas mrk klo ada peluang mcm ni.. sbb cikgu math tu pun terdiam,atau mmg sangat cool…tak marah langsung… jarangnya org zaman skrg yg super cool klo dah ditembak kata pedas berterusan…
    Semoga dipermudahkan karya cerita ABU versi Muhammad Rusydi dapat dinovelkan… (^_^)
    Barakallahu fik ya akhi Muhammad Rusydi…
    Allahumma solli ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala ali sayyidina Muhammad kama solai ta’ala sayyidina Ibrahim wa ‘ala sayyidina Ibrahim, wabarik ‘ala sayyidina Muhammad wa ‘ala ali sayyidina Muhammad kama barak ta’ala sayyidina Ibrahim wa ‘ala sayyidina Ibrahim fil ‘alamin na-innaka hamidun majid….Amin Ya Allah..Amin…

    Like

  5. Selesai baca episod 1 dan 2. So far, okey dan saya suka episod 2 nie. Mungkin ia mengingatkan saya ketika saya menjadi guru ganti subjek matematik selama 6 bulan, tahun lepas. Rasanya macam watak cikgu matematik tu ada iras2 saya.

    Tetapi pelajar2 dalam cerita En Rusydi ni walau kelihatan biadap, saya kira lagi beradab berbanding bekas pelajar sy dulu.. hmm ..

    Dulu saya selalu cakap pada pelajar saya, “cikgu tak kisah kalau awak tak pandai, cikgu boleh ajar, tapi tolong jangan jadi kurang ajar”. (setiap kali keluar ayat ni, hati mesti rasa sebak semacam)

    Kalau si Aira ni antra pelajar saya yg bangun berkata demikian, rasanya di situ juga saya menangis..

    Good work En Rusydi.. Nak jump to episode 3 pulak.. #refresh.memory

    Like

  6. Alhamdulillah . Ep 2 bnyak mmberi pngajaran psal adab dlm mnimba ilmu . Hujah yg d smpaikam watak aira mmg awesome thap tinggi . Mmg ptut d bukukan novel ni .. lbih2 ag d filemkan . Harap akhi publish kan novel on9 ni secepat mgkin dlm bntuk buku 🙂

    Like

  7. terbaik…. harap2 aku bukan usatzah ni dpt diteruskan…. =)
    baru baca episod 2 da best cam ni… terfikir kalau aira ni dengan zam… gandingan yang mantap….

    Like

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

w

Connecting to %s