“Aku Bukan Ustazah” – Episod 1

Aku Bukan Ustazah

Episod 1

Karya: Muhammad Rusydi

Aira menyepetkan sedikit matanya.

Matahari yang semakin meninggi bikin matanya silau. Itu juga satu petanda buat dirinya.

“Ini tandanya, aku dah lewat! Alamak!”

Aira mempercepatkan langkahnya ke sekolah. Jam tangan yang dipakai di sebelah tangan kanannya menunjukkan detik pukul 7.39 pagi. Kenapa sebelah kanan? Dahulukan yang sebelah kanan itukan sunnah. Memang dah lewat. Kalau ikut waktu persekolahan, 7.40 pagi dah dimulakan pembelajaran kelas yang pertama.

“Habislah aku kali ini. Dahlah masa ustazah pot-pet yang garang macam nak makan orang saja tu!” Mulutnya terkumat-kamit berleter sendiri. Tak sedar, dia pun jenis pot-pet juga.

Langkahnya makin dilajukan. Masa-masa tu jugalah ada saja hal nak terjadi. Aira memberhentikan seketika langkah. Tali kasut pula tercabut. Cepat-cepat dibetulkannya. Simpul mati sajalah senang getus hatinya. Dalam hatinya turut sama berleter.

“Ni kalau aku bukan perempuan yang terkenal dengan sifat sopan santunnya lagi rupawan, sudah pasti akan ku lompat jauh macam olahragawan lelaki . Sekali langkah terus sampai depan pintu pagar sekolah! Fuhyo!”

Aira mengetuk kepala sendirinya. Sempat lagi berangan masa-masa kecemasan macam ni.

Sambung lagi perjalanan. Jarak ke sekolah tinggal lagi 10 minit. Maknanya, dia memang akan tiba di sekolah tepat-tepat dengan hukuman berdiri di luar kelas. Biasa ustazahnya tu buat macam itulah. Dia pernah kena. Bukan main malu dan segan lagi mukanya masa tu. Tak mampu lagi control ayu masa tu. Pelajar-pelajar lelaki kelas sebelahnya memang takkan lepaskan peluang itu untuk mengusik, mencerca, menertawakan dirinya. Memang kena bahan habis-habis. Pekakkan telinga saja. Habis cerita. Nanti sampai giliran mereka pula yang kena denda, dia pula akan buat yang sama cukup-cukup. Ada ubi, ada batas, ada kerja sekolah, ada lah tu yang tak siap bakal menerima padah.

­Pagi itu dia lewat ada sebab.

Malam tadi, ayahnya kejutkan bangun tahajjud. Berkali-kali dia cuba bangun. Namun, tidur semula. Bangun dan jawab sahutan si ayah. Kemudian, tidur balik.

“Aira, bangun. Qyiam!”

“Ya, ayah! Bangun dah ni.”

Jawab. Menyahut. Kemudian tidur. Dipanggil lagi. Menyahut seruan lagi. Tidur balik.

Dua tiga kali juga berulang. Pengakhirannya, dia bangun bertahajjud dalam mimpi.  Khusyuk benar dia bersolat dalam mimpinya itu. Sampai air liur basinya meleleh mencantikkan lagi ‘peta dunia’ yang sedia terlakar di bantal busuk.

Pukul 6.45 pagi dia terjaga dari tidur. Kepalanya pusing. Kesan terjaga beberapa kali malam tadi. Ayahnya dah menanti di depan pintu biliknya.

“Baru nak bangun? Kenapa tak bangun pukul 6.45 pagi esok saja? Dah lima kali ayah kejutkan kamu Aira dari sebelum Subuh tadi lagi!”

Ayahnya bercekak pinggang. Nampak muka garang.

Aira kecut perut. Terus melompat bangun dari katilnya sesegera mungkin.  Mandi, solat dan bersiap ke sekolah.  Makan pagi mana sempat lagi. Tergesa-gesa.

Ayahnya dah tercegat di muka pintu rumah.  Ready-kan tangannya. Aira terus mencapai tangan ayahnya. Peluk dulu ayahnya. Kemudian, baru cium dan salami tangan ayahnya. Ayahnya menghulurkan duit poket sekolah. Tak banyak. Tapi bolehlah untuk belanja makan di kantin sekolah. Untuk lebih daripada itu, tidak boleh. Tak mengapa, dia pun bukan suka sangat berbelanja. Makan pun kadang-kadang. Lebih suka diet dari makan.

“Jangan lupa baca nota yang ayah selitkan dalam duit tu.”

Ayahnya yang tadi garang sewaktu bangkitkannya dari tidur, berlainan sekali bila menghantarnya di pintu rumah. Senyum manis kepada anaknya. Ayahnya faham. Faham dengan baik, sekiranya seorang bapa menunjukkan sikap negatif, masam, apatah lagi marah-marah ketika anak nak turun ke sekolah, sudah pasti mengganggu si anak dari sudut emosi dan motivasi. Dari sudut kaunseling, senyuman seorang bapa atau ibu kepada anaknya boleh menjadi pembakar semangat anak-anak untuk pergi berjuang menuntut ilmu di sekolah.  Rasulullah s.a.w. terhadap anak-anak Baginda jua begitulah. Senyum manis. Tolak ansur. Tegas bertempat. Marah bila perlu. Hikmah perlu sentiasa. Andai Rasulullah s.a.w. sendiri tidak menunjukkan contoh akhlak seorang bapa yang terpuji, bagaimana mungkin umatnya akan dapat menghasilkan para ibu dan bapa yang berakhlak sepertinya? Sentiasa. Akhlak Rasulullah akhlak tertinggi. Nak jadi ibu bapa yang terbaik, ikutlah gaya Baginda s.a.w..

Sekali seminggu.

Ayahnya akan menyertakan sekeping nota dalam lipatan wang kertas untuk Aira. Selang lima minit dari rumahnya, Aira menyeluk poket kanannya. Mengeluarkan cebisan nota yang terselit bersama dengan beberapa keping wang kertas seringgit. Dibacanya sambil berjalan. Langkahnya laju. Dia dah biasa berjalan kaki ke sekolah setiap pagi. Langkahnya sudah mahir. Kalau masuk pertandingan jalan kaki dengan pantas, gadis itu berkemungkinan menang.

Nota itu tertulis kemas tulisan ayahanda tercinta.

“Di rumah ayah telah ajar bermacam adab. Ajar hormat pada ibu bapa. Di sekolah, praktikkanlah adab menghormati yang lebih tua pada guru pula. Di rumah ada ayah. Di sekolah, anggaplah guru itu ayah dan ibu sendiri. Usah lawan guru. Bersabarlah. Yang sabar itu nampak lemah. Namun di sisi Allah, yang sabar itu sebenarnya sangat kuat.”

Tiga kali Aira hadam pesanan ayahnya yang terekod kemas di dalam nota berwarna. Aira ingat lagi, dialah yang menghadiahkan kepada ayahnya sekotak nota warna-warni yang boleh diceraikan. Macam kertas sticker tu. Tapi, tak melekat. Dihadiahkannya sempena hari lahir ayahnya itu tahun lepas. Sejak hari itulah, dia menerima nota dari ayahnya.

Dia tahu. Dia arif. Ayahnya itu cuma berpendidikan setakat SPM. Oleh kerana kekangan hidup dan kemiskinan yang melanda, ayahnya hanya mampu gigit jari melihat rakan-rakannya yang lain menyambung ke peringkat lebih tinggi. Beliau pula menyambung hidup dengan bekerja cari makan. Sudah bermacam kerja dilakukannya. Dari kerja sambilan ke kerja kontrak. Dari kerja kontrak ke kerja sendiri. Sudahnya, ayahnya jadi penjual ais kacang di kampungnya saja. Buka gerai sendiri. Tidaklah besar. Cukuplah sekadar untuk menyara keluarga yang ada. Keluarga pula tidak besar. Yang ada hanya Aira dan dua orang abangnya yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti tempatan. Ibunya pula telah lama meninggal dunia. Panjang ceritanya. Ayahnya dah jadi ayah tunggal. Duda. Apa sajalah gelaran yang diberikan, yang penting Aira sangat sayang pada ayahnya itu.

Nota pemberian ayahnya disimpan baik-baik dalam ruangan begnya. Dah banyak nota sebelum ini disimpannya. Di ruangan berzip yang paling kecil di begnya. Bila dia down, dia akan baca balik tulisan ayahnya itu satu persatu. Dia hargai sangat-sangat apa yang ayahnya tulis. Sebab dia tahu, bukan mudah ayahnya nak tulis benda-benda macam tu. Mungkin ayahnya dah fikir banyak kali hanya untuk tulis nota seringkas itu. Mungkin dah perah otak sampai pening kepala. Mungkin sampai tak tidur malam. Siapa tahu?

Seorang ayah menghargai hadiah anaknya sampai ke tahap itu. Aira fikir, dia juga perlu menghargai pemberian ayahnya. Oh, bukan. Tidak sepatutnya dinamakan pemberian. Tetapi lebih layak dinamakan hadiah. Setiap minggu dapat hadiah daripada seorang ayah. Tidak perlu dapat hadiah kereta mewah, baju mahal-mahal, kasut berjenama, beg tangan branded, anak-anak patung bermacam jenis. Cukuplah hanya dengan cebisan-cebisan nota hati yang berwarna-warni. Sudah cukup itu semua jadi pelangi di hati Aira.

“Aku memang bertuah ada ayah yang sebegini best! Kau ada?”

Hati Aira melonjak riang sendiri.

Jelas, Aira dilahirkan dalam keluarga serba daif.

Dia tidak diajar meminta-minta. Tidak diajar demand. Tidak diajar dengan benda-benda mewah. Apa yang ada dihargai. Apa yang dinikmati, disyukuri. Alhamdulillah, nikmat berkeluarga masih dirasai. Masih ada kasih sayang yang dikecapi.

**

Gadis itu akhirnya tiba di depan sekolah.

Termengah-mengah. Dengan beg hitamnya digalas di atas belakang. Tudung dah sedikit herot-berot.

Guru disiplin dan pengawas yang bertugas dah siap sedia dengan buku rekod disiplin di tangan.

“Sekarang pukul berapa Cik Aira?”

Guru disiplin perempuan menegurnya sambil buat muka garang. Atau memang mukanya sudah asli garang. Aira tak dapat nak pastikan. Yang pasti, riak mukanya tidak menampakkan bibit-bibit keceriaan. Manalah nak ceria, hari-hari kena hadap pelajar bermasalah.

“Err. 7.50 pagi.”

Tergagap Aira.

“Alasan?”

Guru itu segera menyoal. Soalan yang dah biasa diajukan pada pelajar-pelajar lewat. Kadang-kadang naik muak juga dengan mendengar alasan. Ada pelajar yang sanggup bagi alasan tak logik semata-mata nak lepas daripada hukuman. Pernah sekali pelajar beri alasan nenek meninggal dunia. Sedangkan neneknya dah lama meninggal pun. Tapi bila disoal kenapa berikan alasan sedemikian, dijawab selamba si pelajar,

“Memang nenek saya dah meninggal. Cikgu tak tanya pun bila.”

Ini apa pula alasan yang nak diberikan si gadis bernama Aira? Guru itu menyilangkan tangannya ke belakang menanti jawapan.

“Semalam saya bangun tahajjud, cikgu. Punyalah lama saya solat sampai terbabas waktu Subuh. Sayu hati mengenangkan dosa-dosa saya selama ini, cikgu. Kerana sayu hati itulah saya menangis teresak-esak penuh syahdu dan oleh kerana kesyahduan itulah, Subuh gajahlah jawabnya hari ini.”

Aira tersengih-sengih menampakkan baris giginya yang tersusun. Dia cuba berseloroh. Namun, tidak menjadi rasanya.

“Bagus. Alasan yang baik sekali. Sila tulis nama awak besar-besar tapak gajah dalam buku rekod tu. Dengan no.ic sekali dan nama kelas. Ni kali kedua lewat. Sekali lagi, kena denda. Ni last warning.”

Guru disiplin menjawab selamba. Malas nak dilayannya kerenah pelajar loyar buruk.

Usai rekod nama, Aira mencapai tangan guru disiplin itu.

“Cikgu, saya minta maaf dari hujung kaki sampai hujung rambut. Minta halal semua kesalahan saya dunia dan akhirat. Saya harap nak jumpa cikgu di Jannah jua akhirnya. Insya-Allah. Amin. Amin.”

Aira mencium tangan guru itu berulang-kali. Chup. Chup.

Guru disiplin itu tanpa berlengah lagi memberikan pelukunya ke atas kepala Aira. Manja terlebih pula si pelajar seorang ni.

“Moga luku ini menyedarkan dirimu dari api neraka ya anakku.”

Guru disiplin senyum kambing. Aira tersengih-sengih sambil menggosok-gosok kepalanya. Segera berlalu tersipu-sipu.

Guru disiplin dah lepas. Ustazah Godzilla belum tentu lepas!

**

Aira sampai di pintu kelasnya.

Ustazah berbadan gempal, umur dalam lingkungan 40-an kelihatan bengis. Sedang tekun mengajar. Subjek Pendidikan al-Quran dan Sunnah SPM.

Aira tiba-tiba terasa aura kebengisan gurunya itu semerbak sampai ke luar pintu. Terasa tudungnya yang dipakai hampir melayang dihembus aura berbisa itu. Macam ada efek angin ribut taufan sedang bertiup dari dalam kelas ke luar pintu. Hatinya berdebar-debar. Peluh dingin menitik laju di sekitar keningnya. Aira mengeluarkan tisu dari poketnya. Mengelap manik-manik peluh yang nampaknya makin rajin keluar. Degupan jantungnya bertambah kencang. Fuh. Dah macam dalam komik manga yang dibacanya. Bila ustazahnya berpaling menatap matanya, bergegar-gegar kelas dirasakannya. Retak habis lantai kelas. Efek CGI dalam mata Aira memang maksima.

“Ha, apa lagi tercegat di luar tu? Masuk!”

Aira bulat mata. Terkesima seketika.

Mengangguk-angguk dengan laju berkali-kali.

“Terima kasih, ustazah. Terima kasih. Terima kasih!”

Aira masuk macam tikus ke dalam kelas sambil tersengih-sengih macam siamang. Berjalan menghadap gurunya itu tanpa berpaling sedikit pun ke arah lain. Sampai terlanggar-langgar meja rakannya. Gigil juga dia berhadapan dengan ustazah yang super garang tu.

“Aira! Awak dah kenapa sampai langgar-langgar meja?!!”

Jerkah ustazah padanya buat Aira terloncat kecil.

“Maafkan saya, ustazah. Maafkan saya. Saya nervous.”

Padahal dia cuak. Takut dimarahi sang ustazah. Sebab dia lewat.

Ustazah terus mencantas kata-katanya.

“Awak gelabah dah kenapa?!”

Aira membulatkan matanya.

“Saya…saya nervous sebab bila tengok muka ustazah, teringat saya pada arwah mak saya. Sejuk hati lihat muka ustazah ni. Ya Allah. Rindunya pada arwah mak. Bila tengok ustazah, terkenang memori silam bersama mak saya. Oh ibu! Kau disiram bayu pagi..”

Aira sedikit ternyanyi pula.

Ustazah menaikkan sebelah keningnya. Hidungnya kembang kempis. Tadi rasa nak marah. Tak jadilah pula. Makan bodek juga sikit-sikit.

“Sudah! Pergi duduk di tempat awak dan buka buku teks sekarang juga!”

Aira tak berlengah lagi terus meluncur ke tempat duduknya. Mengeluarkan buku dengan sesegera mungkin. Kawan-kawannya tergelak kecil melihat telatah Aira. Gadis itu menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih-sengih melihat kawan-kawannya kembali.

**
Tingkatan 5 Bestari.

Kelas ketiga daripada lima kelas tingkatan lima yang ada di Sekolah Menengah al-Haytami.

Ustazah Raihanah adalah nama sebenar kepada Ustazah Godzilla. Kenapa digelar Godzilla? Sebab bila dijerkahnya sekali, satu blok bangunan boleh terdiam. Lantang suara mengalahkan Ziana Zain. Tak perlu guna speaker. Tak perlu guna mikrofon.  Jelas nyata. Tak ada siapa sanggup melawan kata ustazah tersebut. Pernah sekali ditempelengnya pelajar yang derhaka kepadanya. Demam seminggu budak tu. Datang sekolah terus insaf jadi budak baik. Fuh. Dahsyat aura Ustazah Raihanah. Memang jadi guru favourite Aira di sekolah. Pernah juga gadis itu terfikir.

“Bila aku besar nanti, aku nak jadi macam Ustazah Raihanah. Sekali bersuara, terus orang insaf.”

Tapi, bila dilihatnya ke dalam dirinya sendiri.

“Err. Layak ke aku jadi ustazah?”

Tiada siapa yang sudi meleterinya sebagaimana ustazahnya di sekolah. Di rumah, hanya ayahnya yang seorang itulah bertugas mendidiknya. Didikan seorang ayah tidak sama dengan didikan seorang ibu. Oleh sebab itu, Aira merasa banyak kekurangan dalam dirinya jika nak dibandingkan kawan-kawannya yang lain yang mempunyai ibu dan bapa. Kadang-kadang rasa rendah dirinya menyelubungi perasaannya.

Selama ini hanya ayahnya yang menjadi ibunya sedari kecil. Dia tak pernah merasai kasih seorang ibu. Ibunya pergi meninggalkan dirinya ketika umurnya berumur dua tahun. Kata ayah, ibu sakit dalam perut. Kemiskinan membuat penyakit ibunya tidak berjaya diubati. Namun, ayahnya selalu berkata,

“Penyakit ibu kamu hanyalah asbab. Sebenarnya, dah sampai masa takdir Ilahi. Dah sampai waktunya. Ayah tak pernah salahkan kemiskinan. Tak pernah salahkan Tuhan. Mungkin Allah merasa jagaan ayah masih banyak cacat celanya. Jadi, Dia buat keputusan untuk ‘menjaga’ hamba-Nya itu sendiri selama-lamanya dan ayah yakin. Yakin sekali, jagaan Allah itu adalah sebaik-baik jagaan. Keputusan Allah itu jua adalah sebaik-baik keputusan.”

Ujian atas iman.

Iman bila mahu berpindah ke tingkat yang baru, ianya akan diuji.

Kesetiaan juga berkait rapat dengan keimanan.

Kesetiaan berkait rapat dengan kesabaran.

Tidak mungkin sebuah kesetiaan mampu terbina andai kesabaran itu tak pernah ada.

Benar. Allah nak uji sejauh mana kesetiaan ayahnya terhadap ibu. Ternyata, ayahnya masih berdiri teguh dengan janji setianya pada orang yang tersayang. Masih lagi tidak berganti isteri. Bukan ayahnya tidak ada rupa. Bukan ayahnya tidak menarik. Cuma, hati ayahnya cuma satu. Enggan diisi dengan cinta yang lain. Aira bangga kesetiaan ayah pada ibunya. Aira pernah terfikir, masih ada lagikah insan seperti ayahnya sanggup setia hingga hujung nyawa?

Wujud lagikah lelaki setia di akhir zaman?

Bagi Aira, kesetiaan itu lebih penting berbanding kecintaan. Andai cuma ada cinta, tetapi tiada setia sama saja seperti ada jasad tetapi tiada roh di dalamnya.

Aira kembali semula ke track asal. Mengelamun pula entah ke mana. Matanya fokus kepada Ustazah Raihanah. Kadang-kadang nampak Ustazah Raihanah ni macam Big Show yang bergusti tu. Aira cepat-cepat istighfar. Banyak betul dia mengumpat ustazah dalam hatinya. Dia mengumpat, dia gelak sendiri. Tak betul juga gadis ini.

**

“Kamu semua hafal tak doa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. di setiap solat?”

Ustazah Raihanah mula mengajukan soalan. Memang sikapnya, selesai sahaja sukatan pelajarannya diajarkan, mulalah sesi soal-jawab bersama ustazah.

Pelajar-pelajar baik lelaki mahupun perempuan terdiam. Masing-masing takut nak jawab.

Aira yang berada di belakang sekali di dalam kelas menjawab jauh-jauh.

“Yang mana satu, ustazah? Banyak doa Nabi s.a.w. kan?”

Ustazah mengerutkan keningnya. Bengis. Seraya menjawab,

“Maksud saya, doa moga dijauhkan dari azab kubur, fitnah dajjal. Yang itu. Ada sesiapa tahu? Ada sesiapa amal?”

Diajukan kepada pelajar-pelajar lelaki. Pelajar lelaki menggeleng-gelengkan kepala.

“Haih. Macam mana ni pelajar lelaki tak tahu? Macam mana nak jadi suami orang ni? Dengan awek-awek bukan main pandai lagi mengayat. Berdoa ikut cara Nabi s.a.w. tak pandai pula!”

Pelajar-pelajar lelaki tunduk malu. Terkena dekat batang hidung masing-masing. Kelas 5 Bestari memang kaki mengurat perempuan.

Ditanya pula kepada pelajar perempuan. Menggeleng-geleng juga. Ada yang tersengih-sengih.

“Ha. Bagus! Satu kelas memang bagus. Yang lelaki jahil. Yang perempuan tukil. Jahil tukil. Kalau kamu tak pernah minta doa daripada Allah supaya dijauhkan dengan azab kubur, mana tahu esok lusa kamu mati, berjumpa azab kubur. Masa tu nak marah dekat siapa? Dekat orang tua kamu yang tak ajar kamu? Dekat ustaz dan ustazah yang tak ajar kamu? Jangan tunggu ilmu tu orang suapkan. Cari! Dah tahu kubur tu ada azab kubur, cari jalan bagaimana nak mengatasinya! Dah tahu neraka itu senang terima ahli, cari jalan supaya tidak pernah mendaftarkan diri sebagai ahli terhormat di dalamnya!”

Semua pelajar terdiam. Tunduk. Terasa ke lubuk hati.

“Tahukah kamu semua apa itu fitnah?”

Kali ini ada yang cuba menjawab. Ada pelajar jawab,

“Fitnah itu benda orang kata dekat kita macam-macam. Benda-benda yang tak betul. Benda tanpa fakta. Tanpa usul periksa. Kalau kita tak mencuri, dia kata kita mencuri. Itulah fitnah.”

Yang lain pula menyambung,

“Para wanita itu fitnah, ustazah! Kalau tak ada wanita dalam dunia, tak adalah fitnah kepada lelaki!”

Ustazah menjegilkan matanya bila mendengar jawapan sedemikian. Nampak kesalahan pada wanita saja, kesilapan lelaki tak nampak?

“Baiklah. Nampaknya kamu dah tahu serba sedikit tentang fitnah. Secara umumnya, fitnah itu datangnya dari dua cabang. Satu, dari cabang yang buruk sebagaimana yang kamu sebut contoh tadi. Satu lagi, adalah dari cabang yang baik. Maksudnya, benda baik pun boleh jadi fitnah.”

Pelajar-pelajar mulai bertanya sesama sendiri.

“Macam mana tu, ustazah? Takkan benda baik pun jadi fitnah!”

Ustazah Raihanah menjawab selamba. Membacakan bait ayat al-Quran Surah al-Anfal ayat ke-28 yang bermaksud,

Dan ketahuilah bahawa harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah jualah pahala yang besar.

“Allah menyebutkan harta benda kamu dan anak-anak kamu itu sebagai fitnah. Fitnah yang dikatakan di sini ditafsirkan atau diterjemahkan sebagai ujian. Adakah harta benda kamu itu benda yang buruk? Tidak. Adakah anak-anak kamu itu benda yang tak baik? Tidak. Adakah suami dan isteri kamu itu sesuatu yang buruk? Pun tidak.

Maksudnya, benda yang baik juga boleh menjadi fitnah. Seandainya, tidak didasari dengan iman. Ada harta yang banyak, tetapi kamu lupa pada Allah. Kamu gunakan harta di jalan yang salah. Kamu tak pernah keluarkan zakat, tak pernah bersedekah, sayang sangat kepada harta kamu sampai jadi orang yang kedekut. Membelanjakannya pula untuk kepentingan diri kamu sahaja. Tak pernah terfikirkan pula orang lain yang juga memerlukan. Sedangkan dalam harta kita, terkandung juga hak orang lain. Hak kita, hak umat Islam yang lain juga. Misalnya kita ada RM10, mungkin RM2 daripadanya adalah hak orang miskin. Mereka menanti kita bersedekah supaya mereka juga dapat merasa sesuap makanan.

Namun, bila kita gagal urus harta dan anak-anak di jalan yang Allah nak, maka ianya hanya berakhir dengan jadi fitnah kepada diri sendiri. Andai kamu ketua keluarga, gagal didik isteri dan anak-anak ikut acuan al-Quran dan Sunnah, akhirnya mereka jadi fitnah kepada kamu di alam kubur kelak dan bersambung sengsara sampai ke akhirat. Jadi fitnah kepada kamu yang membawa ke neraka!”

Ustazah Raihanah meninggikan suaranya. Nyaring sampai menyentap ke sanubari para pelajar. Seraya bertanya,

“Kamu nak jadi penghuni neraka?!”

Pantas dijawab anak muridnya,

“Tak nak!”

“Fitnah yang sering disebut di dalam al-Quran adalah fitnah yang membawa kepada syirik. Fitnah dari mereka yang memerangi orang Islam. Mereka sedaya-upaya mahu umat Islam ikut cara hidup mereka yang ternyata membelakangi agama Allah. Dalam Surah al-Taubah ayat ke-48 yang bermaksud,

Sesungguhnya mereka telah lakukan fitnah semenjak dahulu lagi, dan mereka merancangkan terhadapmu (wahai Muhammad) berbagai tipu daya, sehingga datanglah kebenaran, dan nyatalah (kemenangan) ugama Allah (Islam), sedang mereka tidak suka kepadanya.

Mereka takkan berhenti sehinggalah kamu semua rosak akidah! Mereka takkan berhenti sampai kamu jatuh tersungkur menyembah agama mereka! Mereka takkan berputus asa sehingga kamu ludah agama kamu sendiri!

Malahan, mereka orang-orang yang melawan Islam ini berganding bahu sesama mereka untuk menjatuhkan kita. Firman Allah dalam Surah al-Anfal ayat ke-73 yang bermaksud,

Dan orang-orang yang kafir, setengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi setengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar bantu-membantu sesama sendiri yang diperintahkan oleh Allah) itu, nescaya akan berlakulah fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.

Orang Islam ramai yang cuma Islam pada kad pengenalan. Islam pada nama tetapi sebenarnya Munafik! Mereka yang munafik inilah yang semakin bertambah dari sehari ke sehari. Merekalah yang membantu menjadi tulang belakang orang kafir. Orang kafir jadi upline. Orang munafik jadi downline. Multi-level marketing konspirasi untuk jatuhkan Islam sedalam-dalamnya!

Kamu nampak tak sekarang kamu semua hari ini tenggelam dengan apa?!”

Kelas sunyi sepi mendengar tengkingan Ustazah Godzilla. Seolah-olah mengeluarkan bara api dari mulutnya menyembur ke muka para pelajar. Menggelengkan kepala tanda tidak tahu.

“Kamu semua sekarang zaman yang tenggelam dengan laman sosial ciptaan mereka!

Inilah fitnah akhir zaman sebenarnya. Kamu lihatlah. Betapa liciknya mereka. Mereka sediakan ruang untuk kamu upload segala profile kamu dari sejak kamu lahir sampailah kamu dewasa. Dari kamu berpakaian ke zaman kamu tidak berpakaian. Buang pakaian sendiri. Bebas nak upload apa sahaja atas nama demokrasi!

Semua orang bebas lakukan apa saja yang mereka nak. Tiada siapa nak halang.

Kata mereka, laman sosial adalah demi untuk menjalinkan hubungan mesra dengan sesama insan. Tapi, yang saya nampak hanyalah pergaulan tanpa batas antara lelaki ajnabi dengan perempuan ajnabi!

Mereka dakwa, mahu asah seni fotografi dan kongsi pengalaman indah melalui gambar-gambar dengan sesama manusia. Tapi, yang saya nampak hanyalah lelaki tatap foto perempuan. Perempuan tatap foto lelaki. Aurat atau tidak, itu belakang kira. Yang penting, masing-masing cuma nak menyedapkan dan mengenyangkan pandangan masing-masing. Sanggup menghabiskan masa berjam-jam menilik satu persatu gambar. Kalau baca al-Quran, dah pasti habis semua helaian muka surat. Tapi, tidak terjadi sedemikian!

Mereka kata, supaya dengan pujian sesama manusia, dapat meningkatkan motivasi dan semangat antara kita. Tapi, yang saya nampak hanyalah lelaki asing memuji gambar wanita asing. Wanita asing memuji gambar lelaki asing. Berhurungan macam semut gilakan gula. Makin kacak rupa, makin jadi sarang lebah. Makin cantik wajah, makin jadi lubuk. Manusia berebut untuk mencantikkan diri untuk tatapan manusia lain. Dah lupa, siapa isteri siapa. Siapa suami siapa. Dalam talian, semua orang ada beratus isteri dan suami. Tabarruj siapa peduli?! Tidak ada yang peduli lagi. Ustazah-ustazah pun jadi model muslimah, apatah lagi orang kebiasaan yang tidak tahu hujung pangkal agama?!

Mereka kata, dengan laman sosial, umat bersatu padu. Tapi, saya nampak sehari-hari umat Islam bergaduh sesama sendiri. Fitnah sana, umpat sini. Kutuk sana, cerca sini. Parodi sana-sini. Aibkan semahu hati. Umat akhirnya berpecah-belah. Retak dan hancur! Bersatu konon!

Mereka kata, nak guna laman sosial untuk dakwah. Tapi, ustaz bergaul dengan ustazah tiada batasan. Ayat serba Islamik, status serba Islamik, tetapi perlakuan macam satanic. Couple juga tak kira siapa sahaja. Kata couple haram, tapi dia sendiri pun couple. Dakwah dah jadi dakyah. Bila tegur, melenting. Bila dismash, marah. Jenis kepala batu belaka!

Apakah ini semua bukan fitnah dunia akhir zaman kepada kamu?! Jawab!”

Ustazah Raihanah sekali lagi menengking. Terkejut para pelajar.

Timbul keinsafan di hati pelajar.

Tepat ke dasar hati.

“Memang salah cara saya tegur kamu ini dengan tengkingan dan makian. Tapi, kalau bukan saya yang marah, siapa lagi nak marah kamu selepas ini? Bila kamu melangkah ke alam universiti nanti, siapa nak betulkan kepala otak kamu semua? Mana ada siapa lagi! Tak ada! Kamu akan pilih jalan masing-masing. Masa tu kamu akan terasa bongkak dengan title mahasiswa dan mahasiswi. Terlupa diri tu berstatus hamba Allah yang hina saja padahal!

Biar kamu dimarah hari ini supaya ingat sampai bila-bila nanti! Biar ingat sampai ke mati! Ingat, pesanan sampai mati ini dibawa khas oleh Ustazah Raihanah! Sebut depan Tuhan kelak nama ini. Jangan cuba-cuba jadi saksi dusta di depan Allah mengatakan saya tak pernah ingatkan ketika di dunia okay!”

Kelas sunyi sepi. Nampak beberapa pelajar perempuan sebak. Mungkin terasa betul dengan kata-kata ustazah.

Ustazah senyum.

“Ah. Lupa pula nak ajar doa tadi. Baiklah pelajar-pelajar. Tadah tangan. Kita ulang dan hafal doa ini sebanyak sepuluh kali hari ini. Biar ingat sampai bila-bila.”

Para pelajar menadahkan tangan. Ustazah mula membacakan doa.

Alloohumma inni a’uuzu bika min ‘azaabil qabri, wa min ‘azaabi jahannam , wa min fitnatil mahyaaa wal mamaati, wa min syarri fitnatil masiihid dajjaal

Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari seksa kubur, dari seksa neraka Jahannam, dari fitnah hidup dan mati, dan dari fitnah dajjal.”

Para pelajar mengikut dan mengulang-ulang sebanyak permintaan ustazah. Akhirnya, ramai yang mulai ingat doa yang ringkas ini.

“Bacalah doa ini sebaik-baiknya selepas tahiyyat akhir dan sebelum salam. Iaitu, habis sahaja baca tahiyyat akhir, terus saja sambung doa ini. Kemudian, berilah salam. Ini sesuai dengan potongan hadis Nabi s.a.w. dalam Sahih Muslim yang bermaksud,

Daripada Abu Hurairah r.a., beliau berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila salah seorang kamu telah bertasyahud (akhir), hendaklah dia memohon perlindungan Allah daripada empat perkara: Iaitu dengan membaca: (doa di atas)’ (Sahih Muslim: 929)”

“Tapi, suka juga saya ingatkan. Jangan hanya pandai berdoa. Tetapi amalan tidak seiring dengan doa. Misalnya, minta dijauhkan dari azab kubur. Tetapi, perangai ya ampun. Macam syaitan. Contohnya yang lelaki tu, tanpa sebab yang kukuh pergi merokok. Yang perempuan pula, tanpa sebab yang kukuh pergi buka aurat depan lelaki. Kalau doa saja, amalnya tetap buruk, balasan akhirnya buruk juga. Pahala berdoa insya-Allah dapat, seksa kubur pun dapat.

Ingat, dajjal bukannya hanya termaktub pada dajjal bermata satu yang muncul di akhir zaman yang tugasnya mensyirikkan semua manusia. Dajjal itu boleh juga jadi simbolik kepada diri kita sendiri. Bila kita berperangai buruk melebihkan cinta pada sesuatu mengatasi cinta pada Allah, maka kita telah berlaku syirik pada Allah. Misalnya, melebihkan cinta pada awek sampai sanggup tinggal solat. Bukankah mengarut semua tu? Tak jumpa dajjal sebenar, dah nak tiru perangai dajjal. Eh, dajjal sebenar pun tak couple tahu!”

Ustazah Raihanah membentak. Menggegarkan seluruh kelas.

Aira meneguk air liur. Tidak terkata apa. Kawan sebelahnya juga terdiam tak berani bersuara. Seluruh kelas hanya mampu mengangguk perlahan.

Aira memandang muka ustazah yang macam singa itu perlahan-lahan.

“Yang belakang tu apa pandang-pandang? Jeling-jeling?!”

Bruh! Nak tersembur air liur Aira mengenai buku teks di depannya bila disergah ustazahnya itu.

Tak berani dah pandang.

Tak berani.

**

Guru tingkatannya masuk ke kelas.

Para pelajar bangun memberikan salam hormat.

Namun, gurunya itu tidak masuk berseorangan. Ada empat pelajar perempuan masuk bersamanya.

“Murid-murid, hari ini kita ada pelajar baru dari sekolah kejiranan kita. Mereka semua ni dari sekolah kluster. Namun, disebabkan kelas pertama dan kedua sudah penuh, jadi mereka terpaksa menyertai kelas kita ini sehinggalah ke hujung tahun ini.”

Keempat-empat pelajar itu memperkenalkan diri. Sekadar nama sahajalah. Nampak tidak begitu friendly.

Haruslah.

Datang dari sekolah kelas tinggi. Sekolah kluster tu. Bukan sekolah main-main. Pelajar-pelajar cemerlang semuanya. Muka semua nampak cantik-cantik. Mungkin anak orang berada.

Pelajar-pelajar lelaki nampak excited. Dasar lelaki. Tak boleh tengok perempuan dahi licin sikit. Tak sempat cikgu arahkan cari meja untuk pelajar-pelajar baru, mereka dah pun menawarkan diri bergerak mencari meja dan kerusi secara berjemaah. Tak sampai sepuluh minit, meja dan kerusi dah tersedia untuk pelajar baru di bahagian belakang kelas.

“Cikgu harap pelajar-pelajar kelas ini boleh berkawan dengan baik dengan pelajar-pelajar baru. Kalau tak faham dalam pelajaran, boleh rujuk mereka sebab mereka ini dari sekolah yang terbaik. Berpindah ke sini atas sebab-sebab tertentu sahaja yang tidak dapat dielakkan.

Pelajar-pelajar lama jangan buli mereka pula. Kalau cikgu tahu, siap kamu semua. Isu buli ni dah ketinggalan zaman. Jangan ulang lagi di era globalisasi ni. Cewah.”

Cikgu perempuan yang berkulit hitam manis itu memberikan amaran awal-awal. Namun, amaran itu taklah bunyinya serius. Tidaklah segarang Ustazah Raihanah pun. Biasa-biasa saja.

Pelajar-pelajar baru itu berada betul-betul di sebelah meja Aira. Sekelompok satu geng tak berpecah. Nampak di antara mereka, ada yang menyerlah. Mungkin ketua mereka. Fikir Aira.

“Aku Aira. Kau?”

Aira menghulurkan salam perkenalan pada pelajar baru. Tidak bersambut. Dijeling saja sebelah mata.

“Aku Hayati. Tandas dekat mana, ya? Panas betul kelas ni. Rimas pula. Kelas dulu tak ramai pelajar macam ni. Ni dah sampai 40 orang satu kelas apa kejadahnya.”

Disambut perkenalan dengan pertanyaan. Dengan perlian. Nampak tidak berapa ikhlas.

“Tandas dekat hujung blok bangunan ni. Kau keluar pintu kelas ni, belok kanan. Terus.” Aira menjawab dengan senyuman. Memang sikapnya mesra alam. Tak kisah layanan orang buruk atau baik. Sinis atau ikhlas.

Dia ingat pesan ayahnya. Ayahnya kata,

“Manusia ni macam pelanggan. Macam pelanggan yang datang kedai ayah. Ada macam-macam jenis orang. Ada yang datang dengan muka manis. Dengan mood yang happy. Ada yang datang dengan muka masam. Tak ada mood. Order pun bentak-bentak. Bila lambat sikit dilayan, terus beredar. Tak boleh sabar lagi. Kita kenalah jadi macam tuan kedai. Apapun jenis orang yang datang, sambutlah dengan senyuman. Manis muka. Lembut bicara. Orang berkeras dengan kita, kita berlembut dengan mereka. Begitu jualah yang dipamerkan oleh Rasulullah s.a.w.

Bila orang maki Nabi s.a.w., Baginda sabar dan tenang. Tak maki balik pun. Abu Lahab makinya. Baginda tenang dan tetap jawab Baginda adalah seorang Nabi yang merupakan utusan Allah. Tapi, jangan ingat Allah dan para malaikat berdiam diri apabila orang yang berada di landasan yang benar dimaki serta dihina. Allah balas terus dengan menurunkan Surah al-Masad. Di dalam surah itu terkandung makian terus Allah kepada Abu Lahab dan isterinya. Bila kita benar, Allah di pihak kita. Sebab itu, jangan takut jangan gentar. Jangan bermuram durja bila orang buat kita. Bila orang maki kita yang lurus di jalan-Nya, ingatlah Allah dan bala tenteranya di bumi dan langit akan membela kita. Jangan kita yang maki orang tak bersalah. Jangan sampai Allah maki kita.”

Aira memerhati saja keempat-empat pelajar itu beredar ke bilik air perempuan.

“Mungkin aku yang salah tegur kot.”

Hatinya berbisik sendiri. Kawannya di sebelah hanya mampu menjungkitkan bahu. Dia pun tak faham sama. Kenapa begitu dingin sikap pelajar baru. Macam tak suka saja. Ini bukan kali pertama orang bersikap macam ni padanya.

Aira mengukirkan senyum pada kawan sebelahnya.

Manis.

Tak kelat.


Hakcipta Terpelihara Rusydee Artz ® 2014

Fiksyen “Aku Bukan Ustazah” ini adalah hak milik  Muhammad Rusydi.
Tidak dibenarkan menyalinnya kembali dalam apa jua bentuk sekalipun dan ke mana-mana tempat sekalipun tanpa izin dari penulis.

 

 

Advertisements

82 thoughts on ““Aku Bukan Ustazah” – Episod 1

  1. Pingback: BERSEDIAKAH KITA UNTUK MENGADAP-NYA | Selaju Denyut Nadi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s